mutakhir

RM1,000 bonus Aidilfitri penjawat awam Perak

Oleh Zahratulhayat Mat Arif

KERAJAAN Perak hari ini mengumumkan pemberian bonus khas RM1,000 kepada setiap penjawat awam negeri sempena sambutan Aidilfitri, tidak lama lagi.

Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata, bonus khas itu akan diberikan kepada kira-kira 15,000 penjawat awam termasuk kakitangan kontrak dengan pembayaran dimulakan secara berperingkat mulai hari ini.

“Bonus sebanyak RM1,000 ini sudah dipersetujui dan diharap pemberian berkenaan dapat membantu penjawat awam membuat persiapan dan menyambut Aidilfitri dengan lebih meriah,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO kerajaan negeri di Ipoh, hari ini.

Ahmad Faizal turut mengumumkan keputusan kerajaan negeri untuk memotong 10 peratus elaun Menteri Besar dan semua 10 EXCO kerajaan negeri berkuat kuasa serta-merta.

Katanya, keputusan itu sebagai mencontohi tindakan dilakukan Kerajaan Persekutuan sebelum ini sebagai komitmen kerajaan negeri dalam menjimatkan perbelanjaan dan prihatin terhadap masalah kewangan negara.

Sementara itu, Ahmad Faizal memberi amaran kepada mana-mana pihak yang menggunakan alasan dan dakwaan hubungan baik dengan menteri besar dan anggota EXCO lain, sebagai jalan mudah untuk mendapatkan kontrak perniagaan dan agenda peribadi lain.

“Saya menerima beberapa aduan di mana nama saya dan rakan EXCO lain disalahgunakan apabila ada pihak tidak bertanggunjawab pergi ke pejabat kerajaan dan mendakwa mereka kenal rapat dengan saya sebagai menteri besar dan EXCO lain serta mendesak pegawai kerajaan terbabit untuk memudahkan mereka mendapat kerja kontrak.

“Saya nak buat penegasan bahawa semua kakitangan awam dan rakyat, jika ada pihak yang cuba mengaku bahawa mereka amat rapat dengan menteri besar dan EXCO, perkara ini tidak boleh diambil kira sebagai satu kelebihan untuk mereka mendapatkan kerja kontrak,” katanya.

Pada sidang media sama, Ahmad Faizal turut mengumumkan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Datuk Abu Bakar Said dilantik sebagai Pegawai Kewangan Negeri yang baharu.

Pelantikan itu dibuat selepas Pegawai Kewangan Negeri sebelum ini, Datuk Mohd Gazali Jalal, diumumkan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri baharu berkuat kuasa semalam.

Disiarkan pada: June 6, 2018 @ 5:17pm
d