mutakhir

Penerbangan dan ETS tambahan pada Aidilfitri

Oleh Suhaila Shahrul Annuar dan Ahmad Suhael Adnan

SURUHANJAYA Penerbangan Malaysia (MAVCOM) meluluskan 458 penerbangan tambahan sepanjang bulan ini bersempena perayaan Hari Gawai dan Aidilfitri serta cuti persekolahan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, ia membabitkan pertambahan 140,264 tempat duduk bagi 26 laluan penerbangan.

“Tambahan penerbangan ini membabitkan tiga syarikat iaitu Malindo Air, AirAsia dan Malaysia Airlines.

“Pertambahan penerbangan ini, khususnya bagi laluan Kuala Lumpur-Kuching dan Kuala Lumpur-Kota Kinabalu akan membantu mereka yang pulang beraya ke Sabah dan Sarawak yang selama ini merintih kerana harga tiket mahal.

“Semua syarikat itu akan memulakan proses pemasaran mereka, manakala harga tiket dijangka akan berkurangan dengan pertambahan penerbangan ini dan diharap menjadi lebih berpatutan," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Tambahan penerbangan itu akan membabitkan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Alor Setar, Langkawi, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuching, Labuan.

Selain itu, Kuala Lumpur ke Tawau, Sandakan, Miri, Kota Kinabalu, Kuala Namu, Bandar Seri Begawan, Surabaya, Jakarta dan Ho Chi Minh.

Penerbangan tambahan lain termasuklah Johor Bahru ke Kota Kinabalu, Miri, Tawau dan Sibu; Subang ke Alor Setar, Kota Bharu, Pulau Pinang dan Kuala Terengganu serta Kota Kinabalu ke Sandakan.

Sementara itu, Siew Fook berkata, Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) turut menambah enam perkhidmatan setiap hari pada 12 Jun hingga 14 Jun dan 17 Jun hingga 24 Jun, membabitkan pertambahan 19,800 tiket.

Pertambahan perkhidmatan itu menjadikan kekerapan perjalanan ETS antara Kuala Lumpur ke Perlis serta Perlis ke Kuala Lumpur bertambah daripada 36 trip kepada 42 trip bagi tempoh berkenaan.

Mengulas mengenai kempen kesedaran jalan raya sempena musim Aidilfitri, Siew Fook berkata, pihaknya menampilkan kelainan berbanding kempen yang pernah dilaksanakan sebelum ini.

“Esok pagi kami akan lancarkan kempen bersepadu. Untuk makluman, selepas sidang media mesyuarat Kabinet tadi, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan saya membuat rakaman dalam satu video pendek.

“Video pendek ini akan menampilkan Dr Mahathir memberi nasihat kepada pengguna jakan raya dan berharap pendekatan kali ini lebih efektif dan pengguna jalan raya akan mematuhinya.

“Video ini dijangka diterbitkan di televisyen dan media sosial menjelang Isnin depan,” katanya.

Mengulas mengenai MH17, Siew Fook berkata, kementeriannya tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai pesawat itu, sebaliknya urusan serta hala tuju mengenai MH17 diambil alih Wisma Putra dan Peguam Negara yang baharu.

Disiarkan pada: June 6, 2018 @ 5:43pm
d