mutakhir

Padah miliki dua bom

Oleh Muhamaad Razis Ismail

REMAJA lelaki dipenjara tujuh tahun dan enam sebatan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, selepas mengaku salah memiliki dua bom buatan sendiri, tahun lalu.

Bom dipercayai untuk digunakan dalam serangan di pesta arak Better Beer Festival 2017 di ibu negara.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Hafizi Mat Jusoh, 19.

Beliau memerintahkan hukuman berjalan mulai tarikh tangkap tertuduh, 10 Oktober 2017.

Mengikut kertas pertuduhan, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Aman, Pasir Puteh itu didakwa memiliki dua bom improvised explosive device (IED) yang menyalahi undang-undang di sebuah rumah di Kampung Merkang, Pasir Puteh, jam 6.05 petang, 10 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada Mei lalu, tertuduh dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas pelbagai pertuduhan membabitkan perbuatan pengganas Daish berkaitan rancangan menyerang The Better Festival Beer 2017.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang ditangkap di sebuah restoran pada 10 Oktober 2017, memaklumkan kepada pegawai penyiasat kes ada menyimpan bom IED beserta peralatan dan bahan membuatnya di dalam bilik tidurnya di Kampung Merkang, Pasir Puteh.

Pada hari sama, sepasukan polis dibawa tertuduh menunjukkan lokasi bom yang disimpan di bawah meja tulis di dalam bilik tidurnya dan membawa pihak berkuasa ke lokasi bom diletupkan.

Hasil siasatan mendapati dua daripada empat butir IED berkenaan berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan.

Disiarkan pada: June 6, 2018 @ 6:06pm
d