mutakhir

APAD rancang pembangunan pengangkutan

Oleh Suhaila Shahrul Annuar dan Ahmad Suhael Adnan

KEMENTERIAN Pengangkutan menubuhkan satu agensi baharu di bawahnya iaitu Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang berperanan merancang pembangunan sektor pengangkutan awam darat negara.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, agensi bertaraf jabatan itu akan diketuai seorang Ketua Pengarah yang akan merancang pembangunan sektor pengangkutan awam darat khususnya berkaitan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT),

Transit Aliran Ringan (LRT), rel dan sistem bas.

Katanya, sruktur organisasi dan perjawatan dalam APAD akan dibincangkan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)

"Sebelum ini Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang sudah dimansuhkan turut berperanan dari segi perancangan dan pembangunan sektor pengangkutan awam darat, jadi

peranan itu akan dikekalkan dibawah APAD.

"Apa yang dilakukan SPAD sekarang ini akan diserap dalam APAD. Bezanya ini adalah agensi. Bukan suruhanjaya. Maksudnya kerajaan tidak perlu tubuhkan satu suruhanjaya, tidak ada pengerusi suruhanjaya atau ahlinya.

"Manakala daripada segi penguatkuasaan, pengendalian dan pengeluaran lesen kenderaan swasta atau perdagangan akan dikendalikan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sepenuhnya.

"Permohonan lesen atau nak bayar lesen semuanya melalui kaunter JPJ. Jadi selepas kita laksanakan penstrukturan semula tidak ada lagi kaunter berasingan," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Selain itu, katanya dengan penstrukturan semula itu, beberapa akta perlu dipinda dan dimansuhkan.

"Akta SPAD 2010 (Akta 714) yang akan dimansuhkan; Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) akan dipinda untuk memberikan kuasa kepada Kementerian Pengangkutan, APAD dan JPJ dan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) juga akan dipinda untuk beri kuasa kepada JPJ," katanya.

Selain itu, beliau berkata pelan penstrukturan semula SPAD sedang diperincikan di peringkat kementerian.

melalui empat jawatankuasa kecil yang ditubuhkan dan ia dipantau Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Saripuddin Kasim.

Dalam pada itu, berhubung kekeliruan dan salah faham ramai pihak berhubung pembayaran saman SPAD susulan pembubaran suruhanjaya itu, beliau berkata bayaran saman masih perlu dibuat.

"Ada yang keliru, dia ingat bila kita bubar SPAD, tiada penguatkuasaan atau saman SPAD tidak perlu bayar. Itu tidak tepat. Sehingga akta SPAD dibubarkan di parlimen semua perkara berkaitan penguatkuasaan termasuk saman masih berjalan," katanya.

Selain itu, katanya APAD juga akan terbabit dengan pemprosesan lesen kenderaan perdagangan, cuma kaunter servis akan diletakkan di bawah JPJ.

"Kelulusan itu masih di bawah APAD, tetapi bidang kuasa mereka hanya tertakluk di Semenanjung saja.

"Jemaah Menteri turut bersetuju dua agensi yang memproses permohonan lesen kenderaan perdagangan termasuk lori dan bas iaitu Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan Sarawak yang sebelum ini diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan diletakkan di bawah Kementerian Pengangkutan," katanya.

Disiarkan pada: June 6, 2018 @ 6:44pm
d