mutakhir

Kutip derma masuk poket sendiri [METROTV]

Oleh Ayusliza Azizan

SERAMAI 11 lelaki ditahan selepas terbabit dalam aktiviti mengutip derma tabung khairat tanpa kebenaran dalam Ops Kutip dilaksanakan bermula awal Ramadan lalu di sekitar Selangor.

Mereka ditahan itu berusia 20 hingga 43 tahun masing-masing lapan warga Thailand dan tiga warga tempatan.

Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) Mahdi Al- Hilmy Arshad berkata, siasatan awal mendapati enam daripada warga Thailand itu menjalankan aktiviti mengutip derma di bazar Ramadan.

“Turut dirampas bersama mereka adalah wang tunai berjumlah RM1,600.

“Sindiket berkenaan dipercayai bertindak menghantar individu bagi mengutip derma melalui tabung yang diletakkan di bazar Ramadan,” katanya ketika ditemui di bangunan JAIS di Shah Alam, hari ini.

Mahdi berkata, kebanyakan mereka menggunakan alasan kutipan derma bagi pembinaan surau, masjid dan madrasah seperti gambar tertera pada tabung mereka.

“Namun, kutipan dilakukan sindiket itu digunakan untuk kepentingan peribadi.

“Orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya atau bersimpati dengan pengutip derma sebegini, sebaliknya memaklumkan kepada pihak berkuasa jika melihat golongan ini berkeliaran mengutip derma,” katanya.

Beliau berkata, semua individu yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 106 Enakmen Pentadbiran Islam Negeri Selangor 2003.

Terdahulu, Mahdi bersama 56 anggota penguat kuasa JAIS melakukan pemeriksaan di lapan lokasi bazar Ramadan di negeri ini termasuk di Puchong Prima dengan menangkap dua individu warga tempatan.

Disiarkan pada: June 6, 2018 @ 8:57pm
d