mutakhir

Ambil tindakan netizen tak hormat Agong

Oleh Noorazura Abdul Rahman

KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) digesa mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengguna media sosial yang tidak menghormati peranan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dalam proses pelantikan Peguam Negara.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan, tindakan perlu dikenakan terhadap netizen yang tidak mempraktikkan medium media sosial secara berhemah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, kebebasan bersuara perlu seiring prinsip Rukun Negara dalam menjaga keharmonian sesebuah negara.

“Saya juga berpendapat bahawa kebebasan bersuara melalui pelbagai medium dan platform ketika ini sewajarnya dipraktikkan secara berhemah bersesuaian dengan salah satu prinsip Rukun Negara iaitu Kesopanan Dan Kesusilaan yang menjadi amalan kita bersama selama ini.

“Sebagai rakyat yang menyatakan taat dan setia kepada Raja serta Negara, kita perlu yakin dengan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja dalam setiap proses serta keputusan yang membabitkan kepentingan negara. Seruan ini adalah bertepatan dengan prinsip Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara,” katanya dalam satu kenyataan di Alor Setar, hari ini.

Kelmarin, Sultan Muhammad V memperkenankan pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara.

Perlantikan terbabit dibuat selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan nama peguam terkemuka terbabit sebagai calon Peguam Negara bagi menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Isu pelantikan Peguam Negara menggantikan Mohamed Apandi, yang ketika ini bercuti tanpa rekod selama 30 hari mulai 15 Mei lalu, tercetus apabila Dr Mahathir mengusulkan nama Tommy untuk pertimbangan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu.

Disiarkan pada: June 6, 2018 @ 9:28pm
d