mutakhir

Haru biru dibuatnya...

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

PENGGUNA jalan raya gempar apabila lori melanggar tujuh kenderaan yang berhenti di persimpangan lampu isyarat di Jalan Puchong Batu 14, Puchong, 2 petang hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor Superintendan Azman Shari’at berkata, ketika kejadian, tujuh kenderaan berkenaan berhenti di persimpangan lampu isyarat jejambat Batu 14 arah Taman Mas kerana lampu merah.

“Secara tiba-tiba, sebuah lori dari arah belakang melanggar tujuh kenderaan di laluan berkenaan. Bagaimanapun, tiada mangsa cedera dalam kejadian itu.

“Difahamkan brek lori itu tidak berfungsi menyebabkan ia tidak dapat berhenti sebelum melanggar kenderaan lain di hadapannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azman berkata, sehingga kini, tiga laporan polis sudah dibuat berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Disiarkan pada: June 6, 2018 @ 9:39pm
d