mutakhir

Kenyang betul tu...

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: Seekor ular sawa batik ditemui kekenyangan selepas menelan tiga kucing di belakang rumah Program Penempatan Masyarakat Setempat (PPMS) Chin Teck di sini, kelmarin.

Ular sawa seberat 20 kilogram dan sepanjang tiga meter itu ditemui di atas bekas reban ayam sebelum ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pada jam 2 petang.

Pemilik kucing berkenaan, Zunaidah Che Amat, 54, berkata, dia memelihara empat kucing itu sejak dua tahun lalu dan diletakkan dalam bekas reban ayam terbabit bagi mengelak ia hilang.

Katanya, sebelum kejadian itu, suaminya, Abdul Rashid Yaacob, 62, ada memberitahu tiga daripada empat kucing mereka hilang sedangkan pintu reban masih berkunci.

“Suami maklumkan kira-kira jam 7.30 pagi tetapi saya tidak bertanya lanjut kerana mahu segera ke tempat kerja.

“Apabila saya pulang pada jam 1 tengah hari, saya ke belakang rumah dan terkejut apabila menemui ular sawa itu berlingkar di atas reban. Saya percaya ular itu telan kucing saya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Berikutan itu, Zunaidah berkata, dia menghubungi anak lelakinya yang bertugas di pejabat APM Gua Musang untuk memaklumkan perkara berkenaan.

“Saya cemas tengok kucing sudah tiada. Setahu saya, selama ini hanya ayam saja ditelan ular tetapi kucing saya pula jadi mangsa reptilia itu,” katanya.

Sementara itu, Pegawai APM daerah Mohd Yusalmi Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 1.30 tengah hari, sebelum tiga anggota diarah ke lokasi.

Beliau berkata, ular sawa itu berjaya ditangkap setengah jam kemudian dan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: June 7, 2018 @ 10:11am
d