mutakhir

Lega terima baucar RM200

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Taiping: Tabung Bencana NSTP-Media Prima menyampaikan sumbangan kepada 189 keluarga membabitkan 664 mangsa banjir di daerah Larut Matang dan Selama (LMS).

Sumbangan dalam bentuk baucar tunai Tesco bernilai RM200 untuk setiap keluarga itu bagi membolehkan semua mangsa membeli barangan keperluan rumah di pasar raya berkenaan.

Majlis Penyerahan Bantuan Pasca Banjir oleh Media Prima Berhad (Media Prima) itu diadakan di Pejabat Daerah dan Tanah LMS di sini, semalam.

Pengurus Cawangan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) Perak/Ketua Biro NSTP Perak, Jalal Ali Mohd Abdul Rahim mewakili Media Prima menyampaikan sumbangan berkenaan kepada penerima dan wakil.

Pegawai Daerah LMS, Mohamed Akmal Dahalan berkata, inisiatif Media Prima dalam memberikan sumbangan kepada mangsa banjir di daerah itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban ditanggung keluarga terbabit.

“Daerah ini dilanda banjir dari 26 hingga 29 Mei lalu dan terus terang saya cakap, Pejabat Daerah dan Tanah LMS tidak pernah meminta sumbangan kepada Media Prima sebaliknya ia diberikan atas inisiatif syarikat itu sendiri.

“Selain bantuan dari Media Prima ini, Pejabat Daerah dan Tanah LMS juga berusaha mendapatkan sumbangan daripada kerajaan negeri sebanyak RM300 setiap keluarga dan RM500 dari NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara),” katanya pada majlis berkenaan.

Pengurus Besar Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima, Azlan Abdul Aziz dalam satu kenyataannya berkata, bantuan itu selaras dengan objektif tabung bencana untuk membantu mereka yang memerlukan terutama ketika ditimpa musibah.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas sumbangan mereka kepada tabung bencana yang membolehkan kita terus membantu lebih ramai orang yang memerlukan bantuan,” katanya.

Seorang penerima dari Kamunting, Mariani Mukhtar, 31, berkata, dia berterima kasih atas sumbangan itu yang sedikit sebanyak meringankan bebannya sebagai ibu tunggal kepada empat anak selepas rumahnya dilanda banjir pada 26 Mei lalu.

“Kebanyakan barangan rumah rosak dan saya yang mengambil upah menjahit baju juga menanggung kerugian selepas mesin jahit serta kain tempahan pelanggan turut rosak akibat banjir itu.

“Sehingga kini, banyak lagi belum dikemas dan sambutan Hari Raya tahun ini juga tidak semeriah sebelum ini,” katanya.

Disiarkan pada: June 7, 2018 @ 10:20am
d