mutakhir

Tiga laporan polis terhadap tokoh wartawan

Oleh Fazrik Kamarudin

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan selepas menerima tiga laporan polis yang dibuat terhadap tokoh wartawan veteran Datuk A Kasir Jasin berhubung artikel tulisannya yang mendedahkan perbelanjaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, siasatan dilakukan mengikut Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) 1998 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

“Kertas siasatan dibuka selepas pihak polis menerima tiga laporan di Selangor, Kelantan dan Lembah Klang.

“Kita akan jalankan siasatan, sebaik sahaja lengkap kita akan serahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Op Selamat sempena Aidilfitri 2018 di Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, media melaporkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyiasat dakwaan yang dibuat Kadir menerusi blog peribadinya.

Di dalam blog itu, Kadir mendedahkan sebanyak RM257 juta digunakan untuk perbelanjaan hidup dan peribadi Sultan Muhammad V dalam tempoh 16 bulan sejak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Selain itu, lembaran terperinci perbelanjaan itu juga turut tersebar di media sosial dan aplikasi WhatsApp.

Berita berkaitan

Kerajaan teliti dakwaan perbelanjaan Agong RM256.9j

Disiarkan pada: June 7, 2018 @ 11:36am
d