mutakhir

Rampas tembaga, jumpa bakakuk

Oleh Ainul Durmahyanty Durming

PENAHANAN lelaki yang disyaki aktif dalam kegiatan curi kabel membawa kepada penemuan tiga senapang buatan sendiri termasuk jenis bakakuk di di sebuah rumah di Kampung Keliatan, Jalan Tengah Nipah, Lahad Datu, Selasa lalu.

Serbuan jam 9.30 malam menerusi Ops Cantas oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu itu turut merampas beberapa tembaga daripada kabel pelbagai saiz yang disyaki dicuri suspek.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Hamzah Ahmad berkata, siasatan mendapati tembaga pelbagai saiz bernilai RM200,000 disyaki dicuri di lima unit pencawang milik Kawasan Kluster Perindustrian Kelapa Sawit (POIC) di Jalan Tengah Nipah.

“Barang rampasan membabitkan dua gegelung tembaga, satu batang rod tembaga, tiga besi tembaga pelbagai saiz, 13 besi penyambung dan dua unit rotor dinamo.

“Ketika serbuan itu juga, polis merampas sepucuk senapang buatan sendiri jenis bakakuk, dua senapang angin berserta tujuh peluru tabur dan 10 kelongsong peluru tabur di bilik tidur suspek terbabit,” katanya dalam sidang media di IPD Lahad Datu, hari ini.

Hamzah berkata, hasil soal siasat, suspek warga tempatan berusia 48 tahun itu mendakwa menggunakan senapang berkenaan untuk kegunaan sendiri.

“Suspek dan semua rampasan dibawa ke IPD Lahad Datu untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.

Disiarkan pada: June 7, 2018 @ 2:26pm
d