mutakhir

Ajal pemungut sampah

Oleh Hamzah Osman

PEKERJA pemungut sampah syarikat Environment Idaman Sdn Bhd (E-Idaman) maut digilis lori sampah yang dipandu rakan sekerjanya di Pantai Chenang, Langkawi, pagi ini.

Dalam nahas 9.35 pagi itu, mangsa, M Vanarajan, 49, dari Taman Sungai Raya, Kuah di sini, dilaporkan mati di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika pemandu lori bersama dua pekerja termasuk mangsa sedang membersihkan kawasan Pantai Chenang.

"Sejurus tiba di tempat kejadian mangsa yang dipercayai berdiri di atas pemijak kaki sisi kiri lori terjatuh ke pantai selepas pemijak itu patah.

"Selepas terjatuh, mangsa gagal mengelak menyebabkan kepalanya digilis tayar belakang sebelah kiri lori," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Bilik Mayat Hospital Langkawi untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya," katanya.

"Pemandu lori berusia 55 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: June 7, 2018 @ 3:48pm
d