mutakhir

Tiga beradik mangsa keracunan makanan stabil

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

TIGA beradik dari Kampung Changkat Chermin yang dirawat di Hospital Seri Manjung (HSM) dipercayai akibat keracunan makanan kini dalam keadaan stabil.

Bagaimanapun, mereka masih bersedih dan terkejut dengan kematian salah seorang ahli keluarga mereka berusia 11 tahun akibat kes berkenaan.

Mereka yang masih dirawat ialah dua kakak mangsa berusia 16 dan 13 tahun, serta adik perempuan berusia sembilan tahun.

Difahamkan, ibu bapa dan anak lelaki sulung keluarga itu yang turut mengalami keracunan makanan, tidak mendapatkan rawatan di HSM.

Bagaimanapun, usaha wartawan untuk menemubual tiga beradik itu gagal berikutan mereka enggan ditemubual dan gambar dirakamkan.

Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham turut meluangkan masa kira-kira 30 minit untuk melawat tiga beradik itu di HSM, hari ini.

Beliau memaklumkan keadaan tiga beradik itu stabil dan dijangka keluar hospital, tidak lama lagi.

“Saya bersimpati dan turut bersedih dengan kejadian yang menimpa keluarga berkenaan di bulan Ramadan ini.

“Saya harap selepas ini semua pihak saling bekerjasama menjaga kebersihan makanan dan peniaga juga perlu berwaspada supaya kawasan di sekeliling sentiasa bersih, ini penting supaya perkara sama tidak berulang,” katanya.

Berita berkaitan

Satu maut, tiga dirawat akibat keracunan makanan

Disiarkan pada: June 7, 2018 @ 5:05pm
d