mutakhir

Hancur empat jari

Oleh Rosliza Mohamed

PELAJAR Tingkatan Satu hancur empat jari kiri akibat bermain mercun bola dalam kejadian di Kampung Paya Bemban, di Kota Bharu, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7.30 malam, mangsa, Mohamad Zulhakimi Mohd Hussain, 13, sempat meminta tolong daripada jirannya supaya menghantar dia ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Difahamkan, kejadian itu berlaku apabila mangsa tidak sempat melemparkan mercun bola yang dicucuhnya itu tiba-tiba meletup.

Mohammad Zulhakimi adalah mangsa kedua akibat bermain mercun di negeri ini.

Emak mangsa, Rosmazili Nek Ismail, 36, berkata ketika kejadian dia sekeluarga baru selesai berbuka puasa.

“Secara tiba-tiba jiran datang ke rumah memberitahu Mohammad Zulhakimi cedera selepas bermain mercun bola, di kawasan terletak 500 meter dari rumah.

“Sebaik tiba, anak sulung saya itu sudah pun dibawa ke HRPZ II untuk mendapatkan rawatan.

“Saya kemudian ke hospital untuk melihat keadaannya dan dia sudah menjalani pembedahan bermula jam 10 pagi tadi,” katanya ketika ditemui di HRPZ II di Kota Bharu, hari ini.

Selasa lalu, seorang pelajar Tingkatan Dua buta mata sebelah kanan dan hancur lima jari kiri serta satu jari telunjuk kanan selepas belerang mercun bola diletakkan dalam botol kaca meletup atas bara api di Kampung Panji, di Kota Bharu.

Dalam kejadian pada jam 11 malam itu, Eiman Najwan Anwar Fuad, 14, menjadi mangsa mercun pertama di Kelantan ketika dia bermain bersama dua rakan berdekatan rumahnya.

Sementara itu, Rosmazili berkata, sebelum kejadian anak sulung daripada empat beradik yang selesai solat Maghrib memberitahu akan keluar bermain mercun dan pulang jam 8.30 malam kerana berjanji untuk membeli pakaian hari raya.

Katanya, mereka sekeluarga tidak menyangka pula itu yang berlaku tetapi bersyukur kerana tidak terkena bahagian mata, walaupun berlaku percikan mercun pada mata dan muka.

“Saya sebelum ini kerap melarang Mohammad Zulhakimi supaya tidak bermain mercun bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Disiarkan pada: June 7, 2018 @ 5:24pm
d