mutakhir

Perkasa JAKIM, bukan bubar

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

PERANAN Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) harus dikaji semula untuk diperkasa bukannya dibubarkan, tegas Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Beliau bersetuju dengan cadangan Kerajaan Persekutuan untuk mengkaji semula peranan JAKIM atau memperkasakan fungsinya semula, justeru tidak perlu dibubarkan.

Menurutnya, peranan dimainkan JAKIM yang ditubuhkan sejak zaman pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun sebelum ini amat besar dalam menyelaraskan pentadbiran institusi keagamaan di peringkat pusat dan negeri.

“Peranan sedia ada dimainkan JAKIM ketika ini sudah cukup baik dan sekiranya ada cadangan bagi pembubaran badan itu, saya bimbang hubungan penyelarasan di antara Kerajaan Pusat dan negeri-negeri akan terputus.

“Sekiranya kajian semula dilakukan oleh Kerajaan Pusat bertujuan memperkasa peranan JAKIM, ia memang sesuai berikutan peranan jabatan itu amat penting.

“Jika JAKIM tidak ada dan dibubarkan, majlis agama Islam di setiap negeri akan membawa diri dan akhirnya berkemungkinan boleh mengeluarkan fakta bercanggah (di setiap negeri) dalam sesuatu perkara (berkaitan hukum dan pentadbiran Islam),” katanya selepas merasmikan majlis penyampaian bantuan Aidilfitri kepada fakir miskin sumbangan Yayasan Muhibah Tan Sri Fng Ah Seng hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan Yayasan Muhibah Tan Sri Fng Ah Seng, Tan Sri Dr Fng Ah Seng.

Harussani berkata, sudah tiba masanya peranan JAKIM benar-benar diperkasakan sebagai jambatan utama penyelarasan serta pertemuan muktamad di antara semua majlis agama Islam negeri khususnya dalam penganjuran muzakarah ketika penentuan fatwa terhadap sesuatu isu membabitkan orang Islam.

“Kita tidak mahu kelak, berlaku percanggahan pengeluaran fatwa, sebagai contoh di Johor lain, di sini lain,” katanya.

Beliau berkata, peranan dilakukan JAKIM ketika ini sudah baik tetapi sekiranya masih mahu dikaji untuk ditambah baik, tindakan sama juga harus dilakukan terhadap majlis agama Islam di setiap negeri kerana pada akhirnya matlamat utama ialah bagi memberi nilai tambah kepada institusi keagamaan di negara ini.

Disiarkan pada: June 7, 2018 @ 5:55pm
d