mutakhir

Penjawat awam 'lalok' dadah ditahan

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

PENJAWAT awam disyaki penagih dadah ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Jejawi, Bota, hari ini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, suspek, 44, ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah pada 3.10 pagi.

Menurutnya, lelaki itu yang bekerja sebagai pembantu makmal di sebuah sekolah menengah di daerah ini berada di bawah pengaruh dadah ketika ditahan.

“Suspek ditahan di ruang tamu dan pemeriksaan lanjut menemui satu peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki methamphetamin dengan anggaran berat 0.52 gram di dalam gengaman tangan kanannya.

“Siasatan mendapati lelaki itu sudah tujuh tahun terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dan ketika ditahan suspek sedang 'lalok',” katanya ketika dihubungi.

Mohamad Zainal berkata, saringan awal ujian air kencing mendapati penjawat awam itu positif dadah jenis methamphetamin, namun lelaki itu tiada rekod jenayah.

“Suspek direman tiga hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya.

Disiarkan pada: June 7, 2018 @ 6:53pm
d