mutakhir

Belum ada kata putus caruman KWSP suri rumah

Oleh Nadia Hamid dan Veena Babulal

KERAJAAN belum mencapai kata putus berhubung caruman tambahan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang akan dipotong daripada gaji suami kepada suri rumah, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkata, ada beberapa perkara teknikal perlu diteliti termasuk peraturan KWSP sebelum sebarang keputusan boleh dibuat.

“Kita telah berjumpa dengan mereka (Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan) dan saya berasa gembira selepas pertemuan itu.

“Cuma ada masalah sedikit kerana mengikut Seksyen 51 Peraturan KWSP, tidak boleh disentuh caruman yang diberikan suami (11 peratus).

“Ketika ini, apa yang ada adalah Skim Persaraan 1Malaysia apabila suami boleh secara sukarela memberi ‘hadiah’ sebanyak RM250 setahun.

“Jadi kita perlu cari skim sesuai dan cara pelaksanaan terbaik untuk (laksanakan) caruman tambahan. Saya sudah bercakap kepada Menteri Kewangan, kita kena teliti Peraturan KWSP dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan rasmi di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Kuala Lumpur, hari ini.

Kerajaan dan KWSP, sebelum ini dilaporkan sedang membincangkan mekanisme pelaksanaan pemotongan caruman selain keperluan potongan caruman kepada suami mempunyai isteri lebih dari satu atau suami berstatus ‘househusband’.

Sebanyak dua peratus daripada pendapatan suami akan dipotong untuk caruman dan bagi yang layak, kerajaan akan memberikan insentif tambahan RM50.

Pemotongan caruman tambahan kepada golongan suri rumah antara janji Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketika ditanya perkembangan audit Program PERMATA yang turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Dr Wan Azizah berkata pelaksana PERMATA akan mengadakan audit dalaman.

“(Pelaksana) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) misalnya, turut adakan audit dalaman mengenai bagaimana agihan dan cara dana akan disalurkan.

“Kita masih akan laksanakan kajian semula bagaimana PERMATA boleh memberi manfaat kepada pendidikan awal kanak-kanak.

“Lepas raya lah (keputusan audit dalaman pelaksana akan diserahkan kepada kerajaan),” katanya.

Disiarkan pada: June 7, 2018 @ 8:40pm
d