mutakhir

Agih nasi beriani, bubur lambuk

Oleh Nur Izzati Mohamad

KIRA-KIRA 1,000 kakitangan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) serta pengguna Jambatan Pulau Pinang menerima pek nasi beriani ayam serta bubur lambuk yang diedarkan sebagai juadah berbuka puasa, semalam.

Program bermula 5 petang itu adalah inisiatif diambil Hotel The Light Seberang Jaya selaku pihak penganjur dalam menyempurnakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) terhadap masyarakat sempena Ramadan.

Dalam tempoh seminggu lagi sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri, hotel bertaraf lima bintang itu tidak mahu melepaskan peluang melaksanakan program yang menjadi acara tradisi mereka setiap tahun.

Pengerusi hotel berkenaan, Azhar Mohammad, berkata program itu dipermudahkan dengan kerjasama pihak PLUS selepas Pengarah Urusannya, Datuk Azman Ismail turut berkesempatan turun ke lapangan bagi mengagihkan pek nasi beriani dan bubur lambuk itu.

“Ini adalah kolobrasi pertama antara kami bersama PLUS dan kali pertama kami mengagihkan pek nasi beriani kerana sebelum ini hanya bubur lambuk saja.

“Tahun ini, kami membuat sedikit kelainan dan berharap juadah ini menjadi pelengkap selera bagi penerima,” katanya.

Lebih 20 kakitangan hotel dan PLUS bekerjasama mengedarkan pek nasi beriani dan bubur lambuk dalam program hampir satu jam itu.

Sementara itu, Azman berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan pihak yang mahu menganjurkan program sedemikian di jajaran Lebuhraya PLUS di seluruh negara.

“Ini kerana, pihak PLUS turut menjalankan program CSR apabila mengedarkan lebih kurang 9,000 bubur lambuk sepanjang Ramadan ini.

“Selain itu, kami turut menyampaikan sumbangan berbentuk kewangan kepada 100 masjid di sepanjang jajaran PLUS untuk mengadakan moreh selepas solat tarawih bagi mengimarahkan bulan mulia ini,” katanya.

Disiarkan pada: June 7, 2018 @ 8:52pm
d