mutakhir

Merana dikhianati RM1.5 juta

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: “Saya hilang arah, tak tahu nak buat apa lagi kerana segala-galanya sudah musnah. Rumah tangga juga hancur gara-gara saya rugi dalam skim pelaburan. Habis semua wang simpanan, jual harta benda untuk tampung kerugian RM1.5 juta.

“Tak sangka usaha untuk mengubah nasib keluarga bertukar mimpi ngeri,” kata seorang lelaki yang mahu dikenali sebagai Azman, 28, selepas mengalami kerugian dalam pelaburan mata wang digital Bitcoin.

Azman mengalami kemurungan akibat tertekan selepas mendakwa dikhianati rakan kongsi pelaburan mata wang digital Bitcoin yang melarikan diri menyebabkan dia menanggung segala hutang mereka seorang diri.

Menceritakan kisahnya, Azman berkata, tiga tahun lalu, dia hidup mewah dan pernah merasai pendapatan RM1,500 setiap minit menerusi transaksi skim pelaburan forex.

Katanya, segalanya bermula dengan lancar dan dia hidup mewah hasil duit pelaburan sehingga ada yang menggelarkannya sebagai ‘Raja Forex’ kerana keuntungan diperoleh begitu lumayan.

Menurutnya, tidak lama selepas itu, dia mencuba pelaburan mata wang digital Bitcoin dan bertindak sebagai master manakala rakan kongsinya menguruskan hal ehwal pemasaran dan mencari pelabur baru.

“Dalam tempoh beberapa bulan, kami kumpul lebih RM1 juta dengan setiap peserta memberi modal antara RM10,000 hingga RM80,000.

“Saya sempat merasa wang untung selama enam bulan sebelum rakan kongsi menghilangkan diri tahun lalu.

“Sejak itu, hidup saya porak-peranda kerana diburu pelabur yang berasa mereka ditipu,” katanya yang membuat laporan berhubung tindakan rakan kongsinya itu di Balai Polis Serdang, Selangor.

Lelaki itu berkata, dia juga pernah dilarikan individu tidak dikenali dari Serdang ke ibu negara sebelum dipukul sehingga menyebabkan kecederaan pada bahagian belakang badan.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan dia berasa risau dan tidak dapat memberikan tumpuan terhadap tugas di tempat kerja hingga menjejaskan rumah tangganya.

“Isteri hilang sabar dan tidak tahan selepas kami kerap menerima ancaman lalu meminta cerai. Dia bawa bersama anak kami berusia tiga tahun.

“Apa yang boleh saya buat, wang itu semuanya sudah saya laburkan,” katanya.

Akibat kemurungan, dia nyaris membunuh diri awal tahun ini dengan menggantung diri, tetapi dibatalkan selepas dinasihat rakan.

“Kini saya mulakan hidup baru walaupun sangat sukar kerana perlu meminta bantuan zakat. Insya-Allah, jika ada rezeki, saya gantikan semua wang peserta kerana mereka juga pasti menjalani kehidupan sukar,” katanya.

Mengulas pengalaman dilalui Azman, Pegawai Psikologi Bahagian Kaunseling Universiti Putra Malaysia (UPM) Muhammad Za’im Rosli berkata, keinginan untuk hidup senang menjadi antara faktor seseorang itu tidak memikirkan risiko sebelum bertindak.

Beliau berkata, meletakkan wang di atas sekali keputusan terburu-buru yang tidak seharusnya berlaku kerana kesannya sudah pasti memudaratkan.

“Banyak kes dirujuk sebelum ini menunjukkan ada segelintir individu dalam masyarakat kita sanggup melakukan apa saja untuk mendapatkan wang lebih.

“Walaupun banyak kempen mengenai penipuan membabitkan pelbagai jenis pelaburan dibuat tetapi ia tidak memberi kesan kerana mereka lebih tertarik dengan wang ringgit,” katanya.

Disiarkan pada: June 8, 2018 @ 7:06am
d