mutakhir

Guru maut, kereta terbabas

Oleh Muhamaad Razis Ismail

GURU lelaki maut selepas kereta dipandu terbabas sebelum terbalik dalam kejadian di Jalan Bunut Susu, Kampung Chat, Pasir Mas, tengah malam

Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, Muhammad Qadri Ibrahim, 39, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Mayat guru Sekolah Kebangsaan Cabang Empat Tok Mek Ngah, Tumpat itu dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Abdullah Mohamad Piah berkata, ketika kejadian, mangsa memandu kereta Perodua Myvi dari Meranti menghala ke Gelang Mas.

“Setibanya di lokasi kejadian di satu selekoh jalan, kenderaan mangsa terbabas ke kanan jalan dan terbalik.

“Mangsa yang parah di kepala maut di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: June 8, 2018 @ 12:15pm
d