mutakhir

Gantung diri dekat kubur

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

LELAKI menggantung diri di sebuah pondok dekat Tanah Perkuburan Islam di Kampung Parit Hj Ibrahim, Semerah di Batu Pahat, jam 11 pagi tadi.

Mayat lelaki berusia 33 tahun itu yang ada sejarah sakit mental ditemui orang ramai sebelum mereka menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, turut dijumpai di tangan kanan lelaki itu adalah plastik putih dipercayai mengandungi cecair gam.

“Siasatan setakat ini mendapati tiada unsur jenayah dan mangsa ditemui dalam keadaan tergantung di palang kayu sebelah kanan pondok wakaf tanah perkuburan itu.

“Mayat berseluar panjang hitam dan tidak berbaju. Semakan rekod perubatan mendapati lelaki itu ada rekod rawatan penyakit mental dan pernah mendapat rawatan di Hospital Tanjung Rambutan, Hospital Permai Tampoi, Johor Bahru dan Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, bedah siasat dijalankan petang ini di HSNI dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Lelaki itu tinggal bersama bapa saudaranya di Simpang Tiga, Bagan di sini.

“Ibu bapanya sudah meninggal dunia dan lelaki itu ada kakak yang tinggal di Pasir Gudang dan kali terakhir mangsa dilihat jam 8 pagi hari ini,” katanya.

Disiarkan pada: June 8, 2018 @ 4:39pm
d