mutakhir

Banglo Jho Low tak ada orang

Oleh Hadzlihady Hassan

TINJAUAN di sebuah rumah banglo dipercayai milik keluarga hartawan kontroversi, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low mendapati ia tidak berpenghuni.

Difahamkan, banglo mewah dipercayai milik bapa Jho Low yang terletak satu kilometer dari jalan utama itu kelihatan sunyi.

Beberapa wakil media juga dilihat hadir sejak pagi untuk menemui penghuni di rumah terbabit namun gagal walaupun loceng ditekan beberapa kali.

Kelmarin, waran tangkap dikeluarkan kepada penasihat khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu sekali gus menjadikannya sebagai individu dikehendaki.

Selain Jho Low, Pengarah Urusan SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil Nik Othman Arif Kamil turut dikehendaki bagi membantu siasatan 1MDB.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan, semalam turut meminta dua individu berkenaan untuk segera tampil bagi membantu siasatan.

Difahamkan, beberapa laporan dipetik berkata, Low berada di pelbagai lokasi di seluruh dunia termasuk Thailand, Hong Kong dan Australia.

Malah, menurut laporan Bloomberg, kelmarin, ahli perniagaan kontroversi itu bersedia membantu dalam siasatan 1MDB.

Low memberitahu sudah mengarahkan peguamnya untuk menghubungi SPRM selepas dimaklumkan bahawa agensi berkenaan mencari beliau bagi membantu siasatan 1MDB.

Disiarkan pada: June 8, 2018 @ 5:47pm
d