mutakhir

Harga barangan keperluan Aidilfitri terkawal [METROTV]

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

KEMENTERIAN Pertanian dan Indutri Asas Tani (MOA) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan memastikan harga barangan keperluan pada musim perayaan ini berada dalam keadaan terkawal.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub berkata, Kabinet sudah memutuskan dua kementerian itu supaya mengambil tindakan proaktif bagi mencari penyelesaian serius dalam memastikan rakyat membeli barangan keperluan menjelang Aidilfitri pada harga munasabah.

Katanya, ia termasuk memastikan bekalan semua keperluan mencukupi dan mudah didapati oleh rakyat.

“Soal harga barangan, itu sedang diselaraskan oleh MOA dan KPDNKK. Pertamanya, kita perlu pastikan tiada masalah bekalan dan kedua, keperluan boleh dimiliki dengan harga yang berpatutan.

“Jadi, kedua-dua kementerian ini sedang bekerja bagi memastikan kedua-dua perkara ini dapat dijayakan.

“Kita sentiasa mengawal harga barang dan memastikan barangan mencukupi. Peranan kita memang untuk memastikan semua bekalan dapat dibeli dan diakses oleh rakyat dengan harga berpatutan dan mampu dibeli.

“Ini antara tugas yang dikuat kuasakan, walaupun KPDNKK belum mempunyai menteri, Ketua Setiausaha mereka bersama MOA diberi mandat untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap kawalan harga barang pada musim perayaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Agihan Bubur Lambuk kepada Penjaja, Peniaga dan Pengunjung Bazar Ramadan Taman Dahlia di Johor Bahru, semalam.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai memberi jaminan sehingga kini bekalan keperluan mencukupi sepanjang perayaan termasuk sebelum dan ketika Aidilfitri nanti.

“Bekalan cukup berdasarkan maklumat daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta peladang, termasuk sayur dan daging yang amat diperlukan di musim ini juga.

“Saya harap dapat membeli bekalan keperluan ini tanpa sebarang masalah,” katanya.

Katanya, setakat ini tiada barangan yang dihadkan atau disekat untuk dieksport, namun ia antara cara yang akan dilaksanakan bagi memastikan bekalan mencukupi menjelang Aidilfitri.

Disiarkan pada: June 9, 2018 @ 11:11am
d