mutakhir

'Serbu' Pekan Rabu untuk persiapan Aidilfitri

Oleh Noorazura Abdul Rahman

KOMPLEKS Pekan Rabu di Alor Setar mula menjadi tumpuan orang ramai yang mahu membuat persiapan terakhir menjelang Syawal, Jumaat depan.

Rata-rata pengunjung mengambil kesempatan cuti sekolah yang bermula hari ini untuk membeli kuih muih dan pelbagai kelengkapan raya yang dijual di kompleks itu.

Pengunjung, Siti Hawa Rodziah Abdul Kadar, 44, berkata dia membawa anaknya berkunjung ke kompleks itu membeli kuih tradisional untuk persiapan Aidilfitri.

Katanya, kuih tradisional perlu dibeli di saat akhir bagi menjamin kualiti dan memastikan rasanya kekal sedap sehingga Aidilfitri nanti.

“Selalunya saya akan beli kuih karas, baulu, dodol dan serunding dengan peruntukan kira-kira RM200.

“Setiap tahun saya pasti akan ke sini, harga kuih di sini juga berpatutan dan sangat berbaloi, walaupun saya terpaksa memandu kira-kira sejam untuk sampai di pekan Rabu,” katanya yang berasal dari Sungai Petani.

Seorang lagi pengunjung, Nisa Shukri, 29, dari Jitra berkata, dia berkunjung ke kompleks itu untuk membeli baju raya.

Katanya, dia berhasrat membeli sepasang lagi baju raya biarpun sudah membeli sepasang baju raya pada awal Ramadan lalu.

“Jika ada yang saya berkenan, mungkin saya akan beli lebih, begitu juga dengan baju raya anak lelaki saya, banyak pilihan yang boleh didapati di sini,” katanya.

Sementara itu, peniaga kuih karas Nor Fatihah Ramli, 26, berkata jualan kuihnya melonjak lebih sekali ganda apabila orang ramai membeli di saat-saat akhir.

“Pada hari biasa, saya lazimnya akan menjual 100 bekas kuih karas dengan harga RM10 setiap bekas, tetapi apabila tiba penghujung Ramadan ini, saya tidak menang tangan apabila ramai pengunjung membuat tempahan.

“Bagi yang mahu membeli banyak, saya akan meminta mereka membuat tempahan supaya dapat menyiapkan tempahan mengikut masa berikutan saya memerlukan 15 hingga 20 minit untuk membuat 15 keping karas di dalam satu bekas,” katanya yang mewarisi perniagaan itu dari ibunya sejak 2011.

Disiarkan pada: June 9, 2018 @ 12:17pm
d