mutakhir

Baru mula, dah kantoi pula...

Oleh Hasbi Sidek

SEBUAH premis judi atas talian yang baru beroperasi tiga bulan di Seri Kembangan tidak sempat mengaut hasil apabila diserbu Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman, semalam.

Dalam operasi bermula 6 petang, STAGG menyerbu tiga premis judi dan berjaya menahan dua penjaga premis serta lima pelanggan.

Ketua Penolong Pengarah STAGG Senior Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussin berkata, serbuan Ops Dadu Puchong dilancarkan selepas pihak polis mendapat aduan daripada penduduk berhubung kegiatan perjudian.

“Kami menyerbu tiga premis masing-masing di Serdang Jaya, Apartment Putra Ria, Taman Pinggiran Putra Sekyen 2 dan di Bukit Serdang, Seri Kembangan.

“Hasil pemeriksaan, kami menahan dua lelaki tempatan yang mengaku sebagai penjaga premis, manakala lima lelaki warga tempatan turut ditahan kerana disyaki bermain judi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati premis berkenaan mempunyai alat kawalan jauh bagi mengawal individu keluar masuk dan pada masa sama menghidu kehadiran pihak berkuasa.

“Malah, premis berkenaan dilengkapi dengan kamera luar tertutup (CCTV) bagi memantau kehadiran pihak berkuasa. Terdapat salah sebuah premis yang baru beroperasi kurang tiga bulan lalu,” katanya.

Katanya, semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Serdang untuk siasatan mengikut Seksyen 4B(a) dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Disiarkan pada: June 9, 2018 @ 3:01pm
d