mutakhir

Tinggal nota sebelum hilang

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

“DIA ada memaklumkan mahu ke kampung neneknya di Melaka, tetapi saya meminta dia tunggu sehingga kerja saya selesai, namun dia sudah menghilangkan diri dari rumah,” kata bapa kepada Nur Nazirah Baharuddin, 14, yang hilang sejak semalam.

Bapanya, Baharuddin Majid, 48, berkata, anak bongsunya itu disedari hilang oleh isterinya selepas dia tiada di rumah di Rawang dekat Gombak , kira-kira jam 5 petang sejurus pulang dari membeli belah kelengkapan raya.

Katanya, ketika kejadian, dia berada di luar atas urusan kerja sebelum bergegas pulang ke rumah sebaik dimaklumkan isterinya berhubung perkara itu.

“Isteri memaklumkan dia mencari Nur Nazirah dalam bilik, namun tidak menemuinya. Isteri saya menemui surat ditinggalkan Nur Nazirah di atas meja memaklumkan jangan mencari dia lagi kerana mahu hidup berdikari.

“Saya cuba menghubungi telefon bimbitnya, namun gagal dipercayai sudah dimatikan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Baharuddin berkata, anaknya ada menyuarakan hasrat mahu pergi ke kampung neneknya yang juga bekas mentuanya di Melaka, beberapa hari lalu.

“Namun, saya tidak membenarkan memandangkan sesi persekolahan masih berjalan dan meminta dia menunggu selepas urusan kerja saya selesai.

“Bagaimanapun, dia dilihat seperti ‘mogok’ apabila tidak mahu pergi ke sekolah, Selasa lalu dengan memberi alasan kepala pening.

“Saya juga menegur tindakannya ponteng ke sekolah dan berjanji akan membawanya untuk membeli kelengkapan raya semalam (kelmarin),” katanya yang bekerja sendiri.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati Nur Nazirah turut membawa kelengkapan raya bersama ketika keluar rumah.

“Saya menghubungi keluarga bekas isteri untuk bertanyakan jika ada berhubung dengan Nur Nazirah, namun mereka memaklumkan tidak tahu apa-apa mengenai perkara itu.

“Selain itu, saya juga menghubungi abangnya yang kini menetap dengan bekas isteri dan dimaklumkan Nur Nazirah tiada bersama mereka,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Kundang, di Gombak, semalam.

Dia meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lokasi Nur Nazirah diminta menghubungi balai polis berhampiran.

Disiarkan pada: June 9, 2018 @ 4:20pm
d