mutakhir

Ditetak di dalam terowong

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

LELAKI tempatan ditemui terbaring berlumuran darah selepas di kedua-dua tangan dan kaki kirinya ditetak penjenayah berhampiran terowong Lembah Subang Jalan PJU 1A/42, Kelana Jaya dekat Petaling Jaya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi, mangsa berusia 28 tahun cedera di kedua-dua tangan dan paha kiri dipercayai ditetak menggunakan senjata tajam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada orang awam yang menemui mangsa terbaring di lokasi kejadian, jam 2.30 pagi.

“Lelaki itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah akibat kecederaan dialaminya.

“Ketika ditemui, mangsa masih bernafas dan dalam keadaan lemah kerana kehilangan banyak darah,” katanya ketika dihubungi.

Mohd zani berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai diserang ketika berada di dalam terowong berkenaan berikutan kesan darah mangsa terdapat di sepanjang laluan.

“Motosikal mangsa model Honda EX5 ditemui di hujung terowong arah bertentangan.

“Mangsa dilaporkan dalam keadaan trauma dan tidak dapat bercakap. Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca mangsa diserang,” katanya.

Mohd Zani meminta orang ramai yang mempunyai maklumat segera menghubungi balai polis berhampiran.

Disiarkan pada: June 9, 2018 @ 5:09pm
d