mutakhir

'Tak boleh buat apa dah'

Oleh Hadzlihady Hassan

TIADA apa mampu dilakukan seorang mekanik selain melihat bengkel membaiki motosikalnya hangus dijilat api dalam kebakaran di Jalan Sungai Rusa, Balik Pulau, hari ini.

Dalam kejadian pada 12.50 tengah hari itu, pemilik bengkel berusia 49 tahun itu terpaksa berputih mata apabila 17 motosikal pelanggan termasuk miliknya rentung dalam kebakaran itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Jafri Md Zain berkata, ketika kejadian pemilik bengkel berkenaan sedang melakukan kerja membaiki sebelum terlihat percikan api di kotak suis elektrik.

“Dia cuba memadamkan api namun tidak sempat kerana ia merebak dengan begitu cepat.

“Malah, mangsa tidak sempat mengeluarkan motosikal pelanggan dan miliknya sendiri sebelum dia menghubungi bomba,” katanya.

Jafri berkata, pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Air Putih serta Kampung Terang tiba di lokasi kejadian dan berjaya mengawal kebakaran.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati bengkel motosikal terbabit hangus keseluruhannya namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Katanya, siasatan awal bomba mendapati kebakaran berpunca daripada litar pintas dan tiada sebarang unsur jenayah ditemui.

Disiarkan pada: June 9, 2018 @ 8:37pm
d