mutakhir

Kuih lidah tetap dapat sambutan

Oleh HM Digital

Kota Kinabalu: Walaupun biskut raya moden sering menjadi pilihan setiap kali Aidilfitri, namun biskut serta kuih tradisi Sabah antaranya kuih amplang, kuih cincin, kuih lidah, biskut bangkit dan kuih buras tetap mendapat permintaan tinggi.

Aneka kudapan ringan tradisi Sabah ini sering menjadi hidangan pelengkap ketika sambutan Aidilfitri dalam kalangan masyarakat Islam di Negeri di Bawah Bayu.

Tinjauan sekitar Pasar Terbuka Kota Kinabalu di Jalan Tun Fuad Stephens di sini mendapati orang ramai membeli pelbagai kuih tradisi tempatan ini.

Peniaga, Siti Aisyah Nordin, 35, berkata, dia mampu memperoleh keuntungan hampir RM1,000 sehari dengan hanya menjual pelbagai makanan tradisi ini terutamanya ketika penghujung Ramadan.

“Amplang dan kuih cincin adalah makanan ringan paling popular dalam kalangan pelanggan dan boleh didapati pada harga serendah RM3 sebungkus bagi kuih cincin, manakala RM5 sebungkus untuk amplang.

“Sebanyak lima jenis amplang dijual di sini iaitu amplang ikan, udang, ketam, sotong kari dan sotong manis.

“Kuih cincin pula terdapat empat jenis iaitu mini, lembut, tebal dan rangup,” katanya yang berniaga hampir 10 tahun di pasar itu.

Siti Aisyah berkata, selain kuih cincin dan amplang, kerepek rumpai laut, kuih lidah dan keropok ‘angry bite’ juga antara kudapan popular terutama kalangan pengunjung luar.

Menurutnya, pasar itu kerap menjadi pilihan pengunjung tempatan mahupun pelancong asing sekiranya mahu mendapatkan pelbagai makanan ringan tempatan Sabah untuk dibawa pulang ke Semenanjung, Sarawak serta Brunei untuk juadah Aidilfitiri.

Seorang lagi peniaga, Hasryani Amir, 17, berkata kuih tradisi lain yang sering menjadi pilihan pelanggan adalah biskut bangkit dan kuih buras.

Hasryani berkata walaupun dua makanan berkenaan terkenal dalam kalangan etnik Bugis, tetapi turut digemari oleh semua lapisan masyarakat.

Disiarkan pada: June 10, 2018 @ 7:03am
d