mutakhir

Sembunyi bimbang dimarah main mercun

Oleh Nur Saliawati Salberi

MURID lelaki melecur di muka dan tangan akibat terkena percikan api daripada belerang mercun bola yang dibakarnya di Pantai Belimbing, Alor Gajah semalam.

Difahamkan, dalam kejadian 2.30 petang itu, Muhammad Haziq Hasrizam, 10, bermain mercun seorang diri di halaman rumahnya sebelum tiba-tiba api menyambar tangan dan muka.

Bapa mangsa, Hasrizam Hasan, 36, berkata, beliau hanya mengetahui insiden menimpa anak ketiga daripada lima beradik itu selepas menerima panggilan telefon daripada isterinya.

Pada awal kejadian, beliau berkata, mangsa bersembunyi di dalam bilik air kerana bimbang dimarahi sebelum perkara itu disedari kakaknya.

“Saya yang ketika itu berada di tempat kerja tidak jauh dari rumah, terus bergegas pulang dan membawanya ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut.

“Muhammad Haziq kemudian dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka untuk pemeriksaan dan pemantauan lanjut oleh pakar.

“Saya bersyukur kerana dia tidak parah,” katanya ketika ditemui di Hospital Melaka, hari ini.

Hasrizam berkata, keadaan anaknya itu sudah stabil dan dibenarkan pulang oleh pegawai perubatan tetapi perlu berjumpa dengan doktor pakar pada temu janji akan datang.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Mohd Sofi Abdul Wahab, berkata, kanak-kanak itu hanya melecur 0.5 peratus di bahagian muka dan merupakan mangsa pertama insiden mercun di Melaka tahun ini.

“Diharap pada musim perayaan ini, ibu bapa memerhatikan gerak-geri anak agar mereka tidak memperoleh bekalan mercun.

“Selain itu, saya berharap pihak berkuasa terus mempergiatkan lagi pemantauan penjualan mercun. Walaupun ada sesetengah pihak cuba mencari duit tambahan sempena Hari Raya dengan menjual mercun, tindakan ini mengundang bahaya kepada orang lain,” katanya.

Disiarkan pada: June 10, 2018 @ 6:37pm
d