mutakhir

Penyelewengan RM1.25b: Maklum keputusan esok

Oleh Luqman Arif Abdul Karim

TINDAKAN tegas susulan pendedahan mengenai isu penyelewengan kontrak perbekalan panel tenaga solar membabitkan 369 sekolah di Sarawak sudah diambil, Jumaat lalu.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, ketika mengesahkan perkara itu bagaimanapun menjelaskan keputusan berhubung isu terbabit hanya akan diumumkan secara rasmi, esok.

“Saya maklum mengenai laporan oleh pihak media mengenai kemungkinan wujud penyelewengan dalam pemberian kontrak perbekalan panel tenaga solar kepada sekolah di Sarawak.

“Saya sudah menjalankan siasatan terperinci mengenai kes ini sejak minggu lalu, malah pihak berkuasa yang berkaitan turut dimaklumkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sarawak Report, semalam mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menandatangani projek bernilai RM1.25 bilion untuk pemasangan panel tenaga solar di 369 sekolah di Sarawak.

Pelaksanaan projek itu dikatakan melangkaui proses biasa ditetapkan Kementerian Pendidikan supaya tender projek berkenaan tidak diberikan secara terbuka, sebaliknya diserahkan terus kepada syarikat sewaan kereta di Bintulu.

Laporan berkenaan turut menyatakan bahawa kakitangan kementerian yang menyatakan keprihatinan berhubung proses penganugerahan kontrak terbabit ditukarkan, manakala laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) langsung tidak dihiraukan.

Lebih membimbangkan apabila tempoh 18 bulan projek itu sewajarnya siap dilaksanakan. sebaliknya berlarutan sehingga tiga tahun, malah sehingga kini tiada satu unit panel tenaga solar dilaporkan dipasang di sekolah berkenaan.

Pemeriksaan terhadap latar belakang syarikat mendapati Ketua Pegawai Eksekutif adalah memegang jawatan dalam sebuah parti politik.

Najib didakwa menandatangani dua surat, masing-masing pada Julai dan November 2016 bagi memberi pengecualian perolehan kontrak kerajaan untuk syarikat berkenaan.

Menerusi tulisan tangan di ruang atas surat berkenaan tertera nota kepada Ketua Bahagian Perolehan Kementerian Kewangan, selepas dokumen itu dicop sebagai bukti ia diterima pejabat berkenaan.

Surat kedua ditulis Najib kepada Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid ialah untuk sekali lagi memberikan pengecualian perolehan kepada syarikat sama.

Syarikat itu didapati mengirimkan surat pada April lalu untuk meminta ‘pertolongan khas daripada Perdana Menteri’ berkaitan pembayaran pendahuluan berkadar 9.8 peratus, iaitu RM130 juta.

Sekali lagi, arahan dikeluarkan Najib didapati tertera di ruang atas surat berkenaan, namun kali ini mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad untuk membuat bayaran tanpa sebarang penangguhan.

Urusan terbabit masih dilaksanakan meskipun wujud aduan rasmi difailkan Ketua Jabatan Perolehan Kementerian Pendidikan, susulan kegagalan pelaksanaan projek oleh syarikat berkenaan.

Syarikat itu turut dilaporkan berdepan masalah untuk menyelesaikan isu perolehan bekalan pemasangan panel tenaga solar di sekolah terbabit apabila syarikat pembekal mendakwa prosedur pembelian agak janggal kerana meletakkan harga lebih tinggi daripada biasa.

Mengikut terma kontrak, sekurang-kurangnya 180 sekolah sepatutnya ketika ini dilengkapi panel solar, namun perkara itu tidak berlaku.

Difahamkan, syarikat pembekal memfailkan saman terhadap syarikat berkenaan.

Disiarkan pada: June 10, 2018 @ 8:37pm
d