mutakhir

Bawa 80 individu beli baju raya

Oleh Muhammad Shalaby Shahbuddin - 10.06.2018

MENJELANG Aidilfitri, Nasmir Holding Sdn Bhd menerusi Yayasan Al Nasmir mengambil inisiatif membawa 80 individu terdiri daripada orang susah, anak yatim dan orang kurang upaya (OKU) membeli pakaian raya di Mydin Mall, Jalan Baru, Bukit Mertajam, semalam.

Pengarah Urusan Nasmir Holding Sdn Bhd, Datuk Kadhar Shah Abdul Razak berkata, program sedemikian adalah acara tahunan pihaknya setiap Ramadan bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

Beliau berkata, individu terpilih sekitar Seberang Perai Tengah (SPT) berusia antara dua hingga 60 tahun itu masing-masing menerima baju raya sama ada baju Melayu, dengan songkok atau baju kurung.

“Selain bantuan ini, seramai 105 kanak-kanak Rohingya dari Maahad Al Arkan Li Tahfiz Al Quran di Bandar Perai Jaya, Perai berusia 7 hingga 13 tahun yang kurang berkemampuan dan ada sebahagiannya anak yatim piatu turut menerima sumbangan jubah dan serban, baru-baru ini.

“Malah, kami turut menganjurkan majlis berbuka puasa bersama masyarakat selain menyalurkan sumbangan barangan keperluan harian dan wang tunai di beberapa kawasan sekitar bagi menceriakan dan meringankan beban mereka,” katanya.

Kadhar Shah berkata, pihaknya turut tidak lupa menyalurkan bantuan kepada keluarga kurang berkemampuan di perkampungan di Kemboja.

“Seramai 400 keluarga di perkampungan itu yang kebanyakannya hidup susah dan tidak cukup makan menerima bantuan barangan keperluan, makanan, kain pelikat dan wang tunai.

“Menerusi Yayasan Al Nasmir juga, surau dan pusat tahfiz didirikan di perkampungan itu sejak lima tahun lalu, sekali gus memudahkan mereka melakukan ibadah dan mendapatkan pembelajaran agama yang baik dan selesa,” katanya.

Beliau berkata, diharapkan semua program bantuan dan kebajikan disalurkan itu dapat membantu golongan kurang berkemampuan dan tidak bernasib baik sepanjang Ramadan ini dan membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Disiarkan pada: June 10, 2018 @ 10:15pm
d