mutakhir

Drebar bas positif heroin

Oleh Faris Fuad

PEMANDU bas ekspres berusia 56 tahun positif dadah jenis heroin antara tujuh kes dicatatkan menerusi Ops Serkap Bersepadu dijalankan di Semenanjung Malaysia, sejak kelmarin hingga malam ini.

Ops dijalankan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sempena perayaan Aidilfitri itu akan berakhir pada 22 Jun ini.

Ketua Jabatan Penguatkuasa SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad, berkata enam kes lagi membabitkan isu teknikal seperti keadaan tayar dan permit syarikat bas.

Beliau berkata, setakat ini, 450 bas sudah diperiksa menerusi ops diadakan secara tahunan itu dengan pihaknya masih belum mencatatkan sebarang kesalahan, namun AADK dan JPJ masing-masing melaporkan satu dan enam kes.

“Pegawai dan anggota agensi terbabit bekerja 24 jam sehari kerana dua tiga hari ini sudah dikira waktu puncak.

“Ramai yang merancang untuk pulang ke kampung sempena perayaan Aidilfitri dan ketika sambutan itu nanti, kita akan memantau dan menjalankan operasi 16 jam sehari.

“Mungkin minggu depan, kita akan sambung kembali operasi 24 jam sehari kerana sudah tentu ramai yang akan pulang dari kampung ke destinasi masing-masing," katanya pada sidang media di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Kuala Lumpur, malam ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penumpang bas ekspres perlu menjadi mata dan telinga penguat kuasa dengan melaporkan sebarang tindakan pemandu yang jelas melanggar undang-undang jalan raya.

“Di dalam bas terbabit, sudah tertera nombor telefon syarikat bas masing-masing.

“Jika didapati individu berkenaan memandu dengan cuai dan melebihi had laju ditetapkan, pengguna boleh menelefon nombor berkenaan dan memaklumkan dengan terperinci mengenai insiden berbangkit,” katanya.

Disiarkan pada: June 10, 2018 @ 11:30pm
d