mutakhir

Buka puasa santai di Padang MPS [METROTV]

Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

LEBIH 500 umat Islam berbuka puasa secara santai dalam Majlis Iftar Rakyat di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di Seremban, hari ini.

Orang ramai yang kebanyakan datang bersama keluarga membawa makanan sendiri dan makan dengan beralaskan tikar di padang berkenaan.

Majlis anjuran Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Waris Nismilan itu, turut mengadakan solat Maghrib berjemaah diimamkan Menteri Besar, Aminuddin Harun.

Setiausaha program, Nor Azizi Abd Aziz, berkata program itu bertujuan merapatkan silaturahim dengan majlis berbuka puasa secara santai dan solat berjemaah.

Katanya, walaupun kali pertama diadakan program sedemikian di negeri ini, namun sambutan diterima agak menggalakkan.

“Malah, mereka yang tiada perancangan berbuka puasa di sini, turut berpeluang berbuat demikian dengan membeli makanan dijual di gerai dan turut sama makan di padang.

“Ini kelainan kita cuba tampilkan kepada umat Islam di negeri ini untuk berbuka puasa dengan keluarga,” katanya ketika ditemui.

Nor Azizi berkata, program julung kali itu diadakan di penghujung Ramadan kerana baru berkesempatan untuk diadakan.

Bagaimanapun, katanya, mulai tahun hadapan orang ramai berpeluang berbuka puasa di padang itu setiap hari sepanjang Ramadan.

“€œSelepas ini orang ramai boleh menggunakan padang ini untuk berbuka puasa secara santai, seperti yang sering dilakukan di negeri lain sepanjang Ramadan,” katanya.

Sementara Aminuddin berkata, berbuka puasa secara beramai-ramai di padang adalah suasana untuk mengimarahkan Ramadan.

“Saya berharap program seperti ini dapat dibuat dengan lebih baik pada tahun hadapan dengan lebih ramai umat Islam berkumpul untuk berbuka puasa secara santai,” katanya.

Terdahulu, Aminuddin berkesempatan mengedarkan bubur lambuk kepada pengguna jalan raya dan melawat gerai makanan disediakan.

Selain majlis berbuka puasa dan solat Maghrib, turut diadakan adalah solat Isyak berjemaah diimamkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan, Taufek Abd Ghani.

Majlis kemudian diteruskan dengan solat Tarawih yang diimamkan imam dari Syria, Syed Arsyed.

Disiarkan pada: June 10, 2018 @ 11:46pm
d