mutakhir

Pemandu, kelindan cedera dihentak pistol

Oleh Rosliza Mohamed

Kota Bharu: Seorang pemandu lori dan kelindannya dipukul di kepala dengan objek menyerupai pistol serta ditendang oleh tiga lelaki dalam kejadian samun di Kampung Larak, Pendek di sini, kelmarin.

Kejadian berlaku jam 11 malam menyebabkan mangsa kerugian kira-kira RM70,000 apabila lori lima tan jenis Isuzu dilarikan bersama wang tunai RM7,400, telefon pintar dan dokumen penting.

Penjenayah itu turut mengikat tangan mereka dan memukul kepala manakala seorang daripadanya ditendang di bahagian muka serta belakang badan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, mangsa berusia 21 dan 30 tahun sebelum kejadian ke kampung berkenaan untuk menghantar barang.

“Tiga suspek kemudian menghampiri mereka ketika mangsa menurunkan barang dan mangsa berusia 30 tahun (pemandu) diacukan objek menyerupai pistol sebelum dihentak (dengan objek itu) di kepala hingga luka manakala seorang lagi ditendang di muka dan belakang badan.

“Tangan mangsa diikat dan mereka diletakkan di belakang lori sebelum dilarikan ke Pasir Mas.

“Sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat Kampung Banggol Kulim, Rantau Panjang, kedua-dua mangsa berjaya melepaskan diri dengan melompat keluar daripada kenderaan itu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Ismail berkata, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Rantau Panjang sebelum dirujuk ke Balai Polis Nilam Puri di sini, jam 1 pagi, semalam.

Disiarkan pada: June 11, 2018 @ 10:56am
d