mutakhir

[UPDATE] Angkara dendam

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

LELAKI yang ditetak di kedua-dua tangan dan kaki kiri di terowong Lembah Subang Jalan PJU 1A/42, Kelana Jaya, Petaling Jaya, kelmarin, dipercayai bermotifkan dendam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, pihaknya menahan lelaki berusia 33 tahun di depan restoran di Jalan Gasing, di sini, kira-kira 7 malam tadi.

"Berdasarkan siasatan dilakukan mendapati, suspek menyerang mangsa kerana mahu membalas dendam selepas lelaki itu membuat laporan polis mengenainya pada Mac lalu.

"Difahamkan mangsa membuat laporan polis mengenai sekumpulan lelaki membuat bising dan minum arak di tempat letak kenderaan di Kota Damansara, di sini, sebelum mereka disuraikan pihak polis," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya akan membuat permohonan reman terhadap suspek, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, mangsa berusia 28 tahun cedera di kedua-dua tangan dan paha kiri dipercayai ditetak menggunakan senjata tajam.

Ketika ditemui, mangsa masih bernafas serta dalam keadaan lemah kerana kehilangan banyak darah dan dilaporkan trauma selain tidak dapat bercakap.

Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai diserang ketika berada di dalam terowong berkenaan kerana titisan darah mangsa terdapat di sepanjang laluan dan motosikalnya jenis Honda EX5 ditemui di hujung terowong arah berbeza.

Berita berkaitan:

Ditetak di dalam terowong

Disiarkan pada: June 11, 2018 @ 11:26am
d