mutakhir

NS dapat SUK, Pegawai Kewangan baru [METROTV]

Oleh Ifwan Tun Tuah

KETUA Kluster Pengajian Etika Profesional dan Integriti Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Dr Razali Ab Malik, dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Sembilan yang baharu, menggantikan Datuk Seri Mat Ali Hassan, berkuat kuasa hari ini.

Selain itu, Setiausaha Bahagian Pembangunan dan Pelaksanaan Projek Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Mohd Khidir Majid dilantik sebagai Pegawai Kewangan negeri, menggantikan Datuk Johani Hasan, juga berkuat kuasa hari ini.

Kedua-dua mereka menandatangani dan mengangkat sumpah simpan rahsia di hadapan Menteri Besar, Aminuddin Harun di pejabatnya di Wisma Negeri di Seremban, hari ini.

Aminuddin berkata, pertukaran Setiausaha Kerajaan negeri dan Pegawai Kewangan negeri oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu tidak mempunyai kaitan dengan isu politik, sebaliknya amalan biasa untuk memudahkan dan melancarkan urusan pentadbiran kerajaan negeri yang baharu.

Katanya, berikutan pertukaran itu, Mat Ali dan Johani dipanggil melapor diri di JPA, Putrajaya.

“Saya mewakili kerajaan dan rakyat Negeri Sembilan mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua mereka yang menjalankan tugas dengan cemerlang membantu membawa Negeri Sembilan ke tahap sekarang,” katanya pada sidang media selepas majlis ringkas berkenaan.

Sementara itu, Razali yang berasal dari Bahau menerima surat pelantikannya petang Jumaat lalu dan tidak menyangka akan dipanggil menabur bakti di negeri kelahiran sendiri.

“Saya akan berusaha untuk memajukan Negeri Sembilan ke tahap yang lebih baik selain mewujudkan hubungan erat antara SUK dengan Menteri Besar untuk melancarkan urusan pentadbiran,” katanya.

Sementara itu, Mohd Khidir yang berasal dari Rembau, pula berkata, akan meneroka lebih banyak peluang dan potensi ekonomi yang lebih besar untuk memajukan negeri ini.

Turut mengangkat sumpah simpan rahsia adalah Setiausaha Politik Menteri Besar, Mokhtar Ahmad yang juga Timbalan Ketua Penerangan Pakatan Harapan (PH) negeri dan Ketua Penerangan PKR negeri.

Disiarkan pada: June 11, 2018 @ 1:07pm
d