mutakhir

[UPDATE] Polis cari suspek buang bayi

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

POLIS kini giat mengesan suspek kes buang bayi di tandas stesen minyak di Hentian Rehat dan Rawat, Rawang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak terbabit tidak jelas.

"Memang terdapat CCTV, namun gambarnya tidak jelas. Setakat ini polis masih belum dapat mengesan suspek.

"Keadaan bayi berkenaan kini dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh," katanya ketika dihubungi, di Kuala Lumpur, semalam.

Ali berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh datang ke mana-mana balai untuk salurkan maklumat berkenaan.

Semalam Harian Metro melaporkan, bayi lelaki seberat kira-kira 2.6 kilogram ditemui dalam keadaan lemah di dalam mangkuk tandas di stesen minyak Hentian Rewat dan Rawat Arah Utara dekat Rawang, 9.30 kelmarin.

Bayi lelaki berkenaan ditemui oleh penyelia pembersihan di dalam tandas wanita ketika ingin melakukan kerja pembersihan.

Bayi yang masih bertali pusat ditemui bersama uri yang dibungkus dengan kain batik. Ketika ditemui bayi berkenaan sedar dan menangis. Bayi berkenaan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan.

Berita berkaitan:

Tergamak ibu buang saya dalam mangkuk tandas

Disiarkan pada: June 11, 2018 @ 2:00pm
d