mutakhir

Maut, kereta terjunam ke sungai

Oleh Mohd Roji Kawi

WANITA warga emas maut selepas kereta dipandunya menjunam ke dalam sungai di jeti Sejingkat Power, Kampung Goebilt, di Kuching, hari ini.

Difahamkan, kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu berlaku ketika mangsa memandu sendirian di jeti berkenaan.

Sumber berkata, mangsa dilihat tiba-tiba memandu ke tebing jeti berkenaan dan gagal memberhentikan kenderaannya, sebelum terjunam ke dalam sungai.

"Sebaik terjatuh dari jeti, kereta berkenaan terus tenggelam menyebabkan beberapa penduduk yang menyaksikan kejadian itu gagal menyelamatkan mangsa," katanya.

Beliau berkata, penduduk kemudiannya menghubungi talian kecemasan memaklumkan kejadian itu.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.38 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba Tabuan Jaya melakukan selaman dan berjaya menemui kereta mangsa di kedalaman kira-kira dua meter.

"Selepas anggota mengikat tali, kereta berkenaan berjaya ditarik dengan bantuan jengkaut pada jam 10.50 pagi.

"Pemeriksaan lanjut menemui mayat seorang wanita di dalam kereta berkenaan, namun tiada dokumen pengenalan diri ditemui," katanya.

Ling Hii berkata, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut termasuk proses pengecaman.

Disiarkan pada: June 11, 2018 @ 4:25pm
d