mutakhir

Musa adalah pemimpin, sepatutnya tampil

Oleh Norasikin Daineh

POLIS Sabah berharap bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman segera tampil secara sukarela bagi membolehkan siasatan berhubung kes ugutan jenayah membabitkan beliau dilengkapkan secepat mungkin.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata, pemimpin itu perlu tampil kerana keadilan tidak dapat dilaksanakan sekiranya ia tertangguh berikutan beliau tidak memberi keterangan.

“Kita harap beliau dapat tampil segera untuk memberi keterangan ini kerana keadilan tertangguh bermaksud keadilan dinafikan.

“Jadi eloklah sebagai pemimpin beliau tampil untuk menyegerakan untuk melengkapkan siasatan ini dan kita akan teruskan dengan merujuk timbalan pendakwa raya dengan apa juga keputusannya nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah antara Datuk Razaruddin Hussain @ Abd Rasid Kepada Datuk Omar Mammah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di Kota Kinabalu.

Musa diminta untuk tampil memberi keterangan berhubung siasatan laporan polis yang dibuat Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin membabitkan ugutan jenayah, Mei lalu.

Bagaimanapun, sehingga kini Musa yang didakwa berada di London gagal tampil.

Dalam isu lain, Ramli berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan jenayah berhubung penggunaan semula bot pam di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) selepas diumumkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, baru-baru ini.

“Kita memantau hal ini dan kita tidak menerima apa-apa rungutan berhubung isu bot pam ini,” katanya.

Disiarkan pada: June 11, 2018 @ 4:36pm
d