mutakhir

DUN Sabah sebulat suara sokong Shafie

Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah; Olivia Miwil dan Fardy Bungga

SIDANG khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan usul menyokong Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah.

Usul itu diluluskan sebulat suara oleh Speaker DUN, Datuk Syed Abas Syed Ali selepas perbahasan disertai lima penyokong kerajaan iaitu Datuk Abidin Madingkir (Paginatan), Phoon Iin Zhe (Luyang), Datuk Masiung Banah (Kuamut), Jamawi Jaafar (Kemabong) serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Lorreto S Padua.

Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri, Christina Liew (PKR-Api-Api) mengemukakan usul undi percaya kepada Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri berkata, perkara berkenaan perlu dilakukan bagi menghentikan polemik politik pembangkang yang boleh menjejaskan kestabilan kerajaan Sabah.

Usul itu kemudian disokong Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Dr Jaujan Sambakong (WARISAN-Sulabayan) untuk dibincangkan pada Sidang DUN.

Mengulas usul itu, Liew menegaskan, ia harus dilaksanakan dalam memastikan sokongan jelas dan kuat kepada Mohd Shafie yang mempunyai mandat untuk dilantik sebagai Ketua Menteri sah mengikut Perlembagaan Sabah.

“Suara dan hasrat pengundi yang mahu perubahan wajar dihormati. Maka menjadi tanggungjawab DUN untuk memberi sokongan undi percaya kepada Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah.

“Ini bagi membelakangkan polemik politik sesetengah pihak dengan menggunakan tindakan di mahkamah bagi mencabar kesahihan Mohd Shafie sebagai ketua menteri,” katanya ketika memulakan sesi perbahasan sidang khas DUN Sabah.

Sementara itu, Abidin dalam perbahasannya menyatakan isu ini harus diselesaikan segera kerana Sabah memerlukan pembangunan berterusan dan banyak lagi isu penting perlu dibincangkan termasuk berkaitan petroleum yang memerlukan kestabilan kerajaan dan bukan diganggu dengan isu siapa ketua menteri yang sah.

Disiarkan pada: June 11, 2018 @ 5:18pm
d