mutakhir

Teman abang bomba bersahur

Oleh Nur Izzati Mohamad

KELAB Media Mutiara Pulau Pinang (KMMPP) menganjurkan program Singgah Sahur membabitkan beberapa agensi kerajaan di sekitar Bukit Mertajam, hari ini.

Lebih 10 ahli KMMPP berkonvoi dengan lima kereta ke tiga destinasi terpilih bagi mengagihkan 250 bungkus nasi kandar ditaja Nasmir Holding Sdn Bhd untuk petugas terbabit bersahur, bermula 3 pagi hari ini.

Destinasi terbabit ialah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Perda, dan Hospital Seberang Jaya.

Timbalan Presiden KMMPP, Imran Hilmy Taufik Hilmy, berkata ini adalah kali pertama ahli KMMPP bersahur bersama anggota penyelamat dan agensi berkaitan yang sedang bertugas.

“Sebelum ini, kami hanya menyampaikan sumbangan untuk bersahur sahaja, tetapi kali ini kami berkesempatan mendengar pengalaman anggota bomba bertugas pada bulan Ramadan.

“Kami bersyukur dan berterima kasih kepada pihak Nasmir kerana sudi berkolobrasi bersama KMMPP untuk turut serta dalam konvoi singgah sahur bersama anggota keselamatan serta petugas hospital,” katanya selepas bersahur bersama anggota di BBP Bandar Perda, Bukit Mertajam.

Sementara itu, Pengarah Urusan Nasmir Holding Sdn Bhd, Datuk Kadhar Shah Abdul Razak, berkata program bersama KMMPP itu diteruskan lagi pada tahun ini bagi menghargai jasa dan pengorbanan anggota keselamatan yang bertugas demi menjaga keamanan negara.

“€œDalam program ini, kita duduk dan makan bersama-sama juadah disediakan, sekali gus mengeratkan hubungan dengan petugas terbabit.

“Pada masa sama, sedikit sebanyak kita dapat memahami tugas dipikul mereka yang terpaksa bertugas selama 24 jam demi rakyat,” katanya.

Disiarkan pada: June 11, 2018 @ 6:40pm
d