mutakhir

Skandal SSER RM9.4b: Kementerian bertindak

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim

KEMENTERIAN Kewangan mengambil empat tindakan berhubung skandal bernilai RM9.4 bilion membabitkan syarikat Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER) yang mempunyai hubung kait dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan Jho Low.

Tindakan itu ialah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mengambil alih pentadbiran SSER, menghentikan khidmat Presiden SSER dan melantik jawatankuasa eksekutif (EXCO) diketuai sebuah firma perakaunan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab ke atas skandal SSER ini bagi melindungi kepentingan semua pembayar cukai.

“Laporan sudah dibuat kepada SPRM dan SPRM juga sudah menyerbu pejabat SSER manakala pekerja SSER sudah diberi cuti bergaji sehingga satu tempoh yang akan diumumkan kelak.

“Presiden SSER, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin juga sudah diberhentikan sebagai pengarah syarikat dan Kementerian Kewangan sedang melantik satu EXCO yang akan mengambil alih operasi syariat serta menyiasat semua transaksi dan urusan yang dilakukan SSER,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Lim menafikan dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kononnya China komited mengimport barangan bernilai AS$2 trilion (RM7.97 trilion) dari Malaysia dalam tempoh lima tahun yang akan datang, melabur sehingga AS$150 bilion (RM598 bilion) di Malaysia dan menawarkan 10,000 tempat belajar dan latihan di pelbagai institusi pendidikan di China.

“Saya meminta Ketua Setiausaha Negara dan pegawai-pegawai Perbendaharaan beberapa hari lalu untuk mengesahkan jika Najib mengenai komitmen China kepada Malaysia yang bernilai berbilion ringgit adalah benar dan bersangkut paut dengan kontrak SSER bernilai RM9.4 bilion itu.

“Apabila ditanya, Ketua Setiausaha Negara dan semua pegawai perbendaharaan yakin bahawa dakwaan yang dibuat bekas Perdana Menteri itu adalah tidak benar,” katanya.

Beliau berkata, kertas Kabinet tahun 2016 and 2017 yang meluluskan projek SSER tidak langsung menyentuh mengenai sebarang komitmen yang dibuat negara China kepada Malaysia, melainkan wujudnya kertas Kabinet tersembunyi atau minit Kabinet berfail merah yang tidak dapat diakses oleh sesiapa selain Najib.

“Kami juga mendapati projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dan projek SSER sentiasa dikemukakan

secara bersama di dalam kertas Kabinet yang dibentangkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

“Ini menimbulkan tanda tanya kerana ECRL dan SSER adalah dua projek berbeza yang membabitkan beberapa syarikat serta kontraktor yang berlainan di lokasi yang berjauhan dari satu sama lain, walaupun kedua-dua projek milik Malaysia ini dibiayai oleh China EXIM Bank,” katanya.

Katanya, Najib sengaja enggan menjawab persoalan utama mengenai skandal RM9.4 bilion dan mengenai pembayaran RM8.3 bilion yang bersamaan dengan 88 peratus nilai projek dibuat walaupun secara purata hanya 13 peratus kerja dilaksanakan.

“Mengapakah beliau (Najib) membenarkan pembayaran itu dibuat? Pembayaran 88 peratus daripada nilai keseluruhan projek dibuat walaupun hanya 14.5 peratus daripada kerja bagi projek Multi-Product Pipeline (MPP) telah disiapkan, manakala hanya 11.4 peratus daripada kerja bagi projek Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) telah dilaksanakan. Kemajuan kerja ini masih belum disahkan ataupun diaudit.

“Apa yang lebih memburukkan situasi, kami mendapati bahawa SSER belum lagi mendapatkan sebarang hak kelulusan daripada Petronas untuk membina saluran paip petrokimia untuk projek MPP.

“SSER juga masih gagal mengambil alih tanah yang diperlukan di Sabah untuk melaksanakan projek TSGP. Walaupun pendedahan ini amat mengejutkan, Najib masih lagi percaya bahawa segala proses, peraturan dan undang-undang telah dipatuhi semasa meluluskan projek-projek SSER,” katanya.

Disiarkan pada: June 11, 2018 @ 6:44pm
d