mutakhir

Rampas 260 mesin judi

Oleh Teoh Pei Ying

POLIS merampas 260 mesin judi simulator dalam serbuan di sebuah gudang di Kampung Baru Sungai Buloh, Sungai Buloh, hari ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, hasil maklumat diperoleh daripada gambar dan status dimuat naik di Facebook yang tular sejak pagi hari ini, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh membuat serbuan di gudang berkenaan pada 8.30 pagi.

“Sebaik tiba, anggota membuka pintu utama dan mereka menemui 260 mesin judi simulator yang rosak dan berdebu disimpan di dalam gudang terbabit.

“Kami masih menyiasat tujuan mesin simulator berkenaan disimpan di dalam gudang itu dan tidak ada tangkapan dibuat memandangkan tiada individu di dalam premis berkenaan ketika serbuan dijalankan,” katanya pada sidang media di lokasi, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah JKDM Selangor (Penguatkuasaan) Mohamad Sabri Saad, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat dan Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan S Somu.

Difahamkan, mesin simulator berkenaan dipercayai disimpan di dalam gudang itu sejak lebih setahun.

Hari ini, Pengerusi Pasukan Petugas Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Datuk Seri Sanjeevan Ramakrishnan memuat naik status di Facebook mendakwa pihak polis dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) gagal membongkar gudang yang menyimpan mesin judi di Kampung Baru Sungai Buloh, di sini.

Beliau mendakwa gudang itu menyimpan mesin judi yang diimport sebelum diedarkan kepada premis judi di seluruh negara.

Beliau turut mempersoalkan sama ada polis akan melakukan serbuan dan mengambil tindakan terhadap pemilik gudang itu.

Mazlan berkata, usaha berterusan sedang dijalankan untuk menghapuskan aktiviti perjudian di Selangor.

Beliau berkata, pihaknya sudah menjalankan 222 serbuan di premis judi di seluruh Selangor sepanjang Mei lalu.

“Sebanyak 152 kes membabitkan kegiatan judi didakwa di mahkamah. Aktiviti perjudian di negeri ini mula perlahan pada suku pertama, namun meningkat semula pada Mei apabila kegiatan itu dilakukan secara ‘curi-curi’.

“Pada Januari lalu, kami melakukan 58 serbuan, Februari (40), Mac (36) dan April (73),” katanya.

Beliau berkata, polis menghargai serta mengalu-alukan setiap maklumat diterima daripada orang awam yang disalurkan kepada mereka, namun maklumat diterima perlu tepat dan sahih.

Menurutnya, Jabatan Siasatan Jenayah di peringkat negeri dan daerah akan menjalankan operasi serta risikan untuk memeriksa maklumat diterima.

“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota polis yang didapati melindungi pengendali premis judi,” katanya.

Disiarkan pada: June 11, 2018 @ 9:12pm
d