mutakhir

Ketua Polis Negara diganti?

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

DESAS-DESUS berlaku rombakan besar-besaran di peringkat pegawai tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) semakin memuncak apabila nama Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun turut dikhabarkan bakal digantikan.

Bagaimanapun, usaha NSTP untuk mendapatkan pengesahan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan penjelasan Mohamad Fuzi sendiri malam tadi tidak berjaya.

Setiausaha akhbar Muhyiddin ketika dihubungi malam ini meminta wartawan mendapatkan penjelasan Menteri Dalam Negeri yang akan berada di Kuala Lumpur, esok.

Muhyiddin berada di Johor menghadiri program berbuka puasa di Surau Saadiah, Jalan Bakri, Muar, hari ini.

Portal berita The Malaysian Insight hari ini memetik sumber berkata, penyingkiran Mohamad Fuzi adalah disebabkan kegagalannya bertindak terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mohamad Fuzi mengambil alih jawatan Ketua Polis Negara daripada Tan Sri Khalid Abu Bakar berikutan persaraannya pada September tahun lalu.

Pagi ini, The Straits Times Singapura memetik sumber sebagai berkata, “Ya akan ada gempa 8.5 skala Ritcher (dalam pasukan polis) berlaku pada Julai,” kata sumber itu.

Sementara itu, sumber NSTP memaklumkan tiga nama sudah disenaraikan sebagai pengganti Mohamad Fuzi.

“Antara nama disenaraikan adalah Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim; Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Pengarah Teknologi (StaRT) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan seorang lagi pegawai kanan yang tidak boleh didedahkan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) Bukit Aman, Datuk Asmawati Ahmad ketika dihubungi malam ini berkata, Mohamad Fuzi masih bertugas seperti biasa.

Sebelum dilantik sebagai Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi pernah memegang jawatan Pengarah Cawangan Khas, Pengarah Pengurusan, Pengarah Pasukan Petugas Khas (Counter Terrorism) Bukit Aman.

Disiarkan pada: June 11, 2018 @ 11:06pm
d