mutakhir

Baju kurung istimewa untuk ibu tunggal

Oleh Muhammad Shalaby Shahbuddin

“KAMI menyediakan baju kurung ‘istimewa’ khas kepada ibu tunggal yang mempunyai empat anak atau lebih.”

Itu kata Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Ikhlas Utara Malaysia (D’ Ikhlas), Yahya Amir, ketika ditemui dalam program pemberian pakaian baru dan terpakai di Pusat Penukaran Harapan di tingkat atas Surau Al-Hidayah Balai Pukat, Jalan Pantai, Butterworth, hari ini.

Yahya berkata, program kali ketiga dianjurkan pihaknya itu bertujuan membantu golongan asnaf, anak yatim, ibu tunggal dan gelandangan mendapatkan pakaian baru dan terpakai secara percuma terutama dalam persiapan menyambut Aidilfitri.

Beliau berkata, kebanyakan pakaian baru dan terpakai untuk kanak-kanak hingga dewasa diperoleh daripada dana hasil kutipan 47 ahli D'Ikhlas dan sumbangan beberapa individu bertujuan meringankan beban golongan begitu memerlukan terutama mempunyai bilangan anak ramai.

“Pelbagai jenis pakaian disediakan seperti baju Melayu, baju kurung, tudung, kemeja-t, blaus, jubah, jean, cadar, selimut dan lain-lain lagi.

“Paling menarik, kami menyediakan baju kurung baru buat ibu tunggal yang mempunyai empat anak ke atas, sekali gus dapat meringankan beban dan menceriakan mereka,” katanya.

Yahya berkata, Pusat Penukaran Harapan itu dibuka buat orang ramai bermula 10 pagi hingga 1 tengah hari sehingga Khamis ini dan akan berterusan dibuka walaupun selepas Aidilfitri bagi memberi peluang dan kesempatan orang ramai mendapatkan pakaian baru dan terpakai.

Beliau berkata, pakaian baru diperuntukkan hanya sepasang seorang manakala pakaian terpakai boleh diambil seberapa banyak yang mereka inginkan, jika benar-benar memerlukan.

“Selain program ini, kami turut menganjurkan ‘free market’, menyediakan makan malam mingguan kepada gelandangan di bawah jejambat berhampiran jeti dan menjana kutipan dana menggunakan banner terpakai dijadikan beg barangan yang dijual bermula RM2 hingga RM4.

“Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian menerusi bank CIMB (8602606357) atas nama Pertubuhan Kebajikan Ikhlas Utara Malaysia (D'Ikhlas) atau menghubungi Yahya di talian 013-9976162,” katanya.

Sementara itu, penerima, Mat Yatim Ahmad, 58, berkata, program anjuran D'Ikhlas itu antara contoh dan sikap terpuji kerana dapat membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan yang tidak dapat membeli baju raya sempena Aidilfitri ini.

“Sudah lama saya tidak membeli baju raya, namun sekarang saya boleh pilih pelbagai jenis pakaian untuk menyambut Aidilfitri nanti.

“Dulu saya hidup sebagai gelandangan, namun selepas berjumpa dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini hidup saya lebih terjamin apabila dapat bekerjasama dengan mereka untuk membantu golongan susah pula,” katanya.

Disiarkan pada: June 11, 2018 @ 11:31pm
d