mutakhir

Hanya kerana baju raya...

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

TINDAKAN lelaki menunggang motosikal tanpa lesen dari Perlis bagi membeli baju raya di Sungai Petani mengundang padah apabila dia ditahan pihak berkuasa, malam semalam.

Lelaki berusia 30-an terbabit dicekup selepas motosikal dinaiki bersama isteri dan anaknya ditahan dalam operasi bersepadu sempena Aidilfitri di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gurun arah selatan, di Gurun.

Malah, lelaki itu juga positif dadah hasil ujian saringan air kencing dijalankan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Dia antara lapan individu yang ditahan kerana positif dadah syabu membabitkan 37 pengguna jalan raya yang diperiksa dalam operasi bermula jam 9 malam dilakukan AADK, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS).

Ketua AADK Daerah Yan, Mohamad Ramli berkata, ketika ditahan, lelaki terbabit yang bekerja sendiri memberi alasan ingin membeli baju raya buat keluarganya.

“Bagaimanapun, dia ditahan selepas ujian saringan air kencing mendapati dirinya positif dadah, malah pemeriksaan mendapati suspek juga tidak memiliki lesen memandu,” katanya.

Beliau berkata, dalam operasi itu, kita menahan seramai lapan orang berusia 18 hingga 40 tahun selepas mendapati kesemua mereka positif dadah syabu.

"Mereka yang ditahan kemudian dibawa ke Pejabat AADK Daerah Yan untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Disiarkan pada: June 12, 2018 @ 10:34am
d