mutakhir

Rancang dulu perjalanan

Oleh Hamizah Badiran

Kuala Lumpur: Berbaki tiga hari saja lagi sebelum umat Islam meraikan 1 Syawal Jumaat ini. Seperti kebiasaan, setiap keluarga pasti mula merancang untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Malah tentunya ada warga kota yang sudah pun pulang awal ke kampung beberapa hari sebelum Aidilfitri agar berpeluang membantu persiapan hari raya bersama keluarga masing-masing.

Hakikatnya, setiap kali musim perayaan jumlah kenderaan di lebuh raya biasanya akan meningkat berbanding hari-hari biasa. Sebagai pengguna, kita perlu bijak merancang perjalanan dengan teliti agar tidak terkejar-kejar di saat akhir.

Bagaimana hendak merancang perjalanan balik kampung yang selamat dan selesa sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini?

Pertama, pengguna perlu mengatur jadual perjalanan agar tidak pulang ke kampung dalam keadaan tertekan dan terburu-buru.

Sehubungan itu, bagi membantu melancarkan perjalanan dan mengurangkan kesesakan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) turut meningkatkan persiapan awal mereka sempena perayaan Aidilfitri tahun ini di mana ramai pengguna lebuhraya dijangka akan berpusu-pusu untuk menikmati diskaun tol 50 peratus pada 13 dan 14 Jun ini.

Seperti tahun-tahun lepas, PLUS menyediakan cadangan waktu perjalanan di Lebuhraya Utara-Selatan sempena cuti perayaan Aidilfitri.

Selain itu, PLUS juga menambah jumlah tandas mudah alih dan menyediakan cadangan lori tangki air di kawasan Rehat & Rawat (R&R) agar orang ramai tidak perlu bersesak-sesak menunggu giliran untuk menggunakan tandas.

Tidak cukup dengan itu, lorong tol juga ditambah termasuk kemudahan pembaca Touch ā€˜nā€™ Go (TnG) mudah alih supaya kesesakan di kawasan berkenaan dapat dikurangkan.

PLUS turut menyediakan tambahan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, anggota PLUS Ronda, ambulans dan kontraktor perkhidmatan.

Jumlah keseluruhan anggota ini ialah seramai 5,000 orang untuk memberikan pertolongan dengan pantas sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diingini seperti kemalangan jalan raya dan sebagainya.

Selain itu, kren dan trak tunda disediakan di lokasi strategik manakala kakitangan dari ibu pejabat juga akan bersiap sedia di plaza tol dan R&R untuk memberi bantuan serta perkhidmatan terbaik kepada pengguna jalan raya.

Orang ramai juga boleh menambah nilai kad TnG mereka di 70 lokasi Kios Layan Diri (Self-Service Kiosk) yang disediakan di plaza tol dan kawasan R&R terpilih.

Di samping itu, pengguna jalan raya boleh menyemak lokasi Kios Layan Diri menerusi Aplikasi PLUS Mobile atau portal Touch ā€˜n Go.

Orang ramai juga boleh menambah nilai kad mereka di stesen minyak yang beroperasi di kawasan R&R di sepanjang lebuh raya.

Hal ini berikutan PLUS menutup semua Lorong Tambah Nilai di plaza tol.

Langkah ini bertujuan mengurangkan kesesakan yang disebabkan oleh orang ramai beratur di lorong tambah nilai di plaza tol.

Kesemua 118 Lorong Tambah Nilai di plaza tol di lebuh raya PLUS akan ditutup kepada orang ramai mulai 12 Jun hingga 24 Jun ini.

Justeru, PLUS juga menasihatkan orang ramai supaya menambah nilai kad masing-masing di kira-kira 10,000 lokasi tambah nilai lain di seluruh negara termasuk di mesin ATM, kedai serbaneka 24 jam dan banyak lagi.

Sementara itu, pusat khidmat pelanggan PLUS akan dibuka di antara jam 7 pagi hingga 10 malam setiap hari (termasuk Sabtu, Ahad dan Cuti Umum) untuk membolehkan orang ramai membuat urusan tambah nilai di plaza tol terpilih.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web PLUS di www.plus.com.my.

Disiarkan pada: June 12, 2018 @ 11:27am
d