mutakhir

Di mana Rizky nak raya... ?

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) Subang Jaya dijangka memerlukan tempoh dua bulan bagi mengenal pasti waris kanak-kanak lelaki dikenali sebagai Rizky, 5, yang ditinggalkan bapa kandungnya selepas terbabit dalam kemalangan di Hospital Serdang, 21 Februari lalu.

Pelindung Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Subang Jaya Mohd Hafifi Mohd Ariff berkata, tempoh masa itu berdasarkan lokasi waris yang menetap di Sarawak.

"Bagi kes Rizky, kami menjangkakan siasatan akan mengambil masa kira-kira dua bulan memandangkan datuk dan neneknya berada di Sarawak ketika ini.

"Difahamkan, mereka akan melawat Rizky pada raya nanti, namun belum menetapkan tarikh perjumpaan itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Hafifi berkata, pihaknya melakukan siasatan mengikut prosedur ditetapkan JKM iaitu memastikan individu yang tampil adalah waris sebenar kepada kanak-kanak itu.

"Pada masa yang sama, kami juga akan menilai pergaulan antara kanak-kanak itu dengan waris sama ada mereka selesa atau sebaliknya.

“Sebolehnya, kami mahu menyerahkan kanak-kanak itu kepada waris, namun ia bergantung kepada keputusan Rizky juga sama ada memilih untuk tinggal bersama mereka atau sebaliknya.

"Ini kerana keputusan itu akan dibuat mahkamah kanak-kanak memandangkan mereka menetap di pusat perlindungan atas perintah mahkamah," katanya.

Sebelum ini, Mohd Hafifi memaklumkan pihaknya menerima tiga panggilan daripada dua bapa saudara kanak-kanak itu dan seorang kenalan bapanya, Khamis lalu kira-kira 8 pagi sebaik laporan mengenai Rizky, disiarkan NSTP, Rabu lalu.

Pada 6 Jun lalu, NSTP melaporkan Rizky ditinggalkan bapa kandungnya yang dikenali sebagai Mohd Faizal Adenan selepas dihantar ke unit kecemasan Hospital Serdang selepas kanak-kanak itu parah di kepala akibat kemalangan jalan raya.

Lelaki itu bertindak menghilangkan diri ketika kanak-kanak berkenaan dalam rawatan dan gagal dikesan sehingga kini , menyebabkan pihak hospital membuat laporan polis.

Rizky kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani pembedahan plastik berikutan kecederaan pada kepalanya selain pemeriksaan gigi dan tulang di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) HKL untuk menentukan anggaran usia kanak-kanak lelaki itu.

Pada 12 April lalu, Rizky dibenarkan keluar wad dan diserahkan kepada JKM Subang Jaya sebelum ditempatkan di Rumah Kebajikan Kanak-kanak BRDB Rotary sehingga penempatan tetap kanak-kanak itu ditetapkan.

Berita berkaitan

Kenapa ayah tinggalkan Rizky?

Kenapa ayah tinggalkan Rizky?

Disiarkan pada: June 12, 2018 @ 11:33am
d