mutakhir

PDRM mungkin dirombak tapi bukan bulan depan

Oleh Nor Azizah Mokhtar

MENTERI Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin menafikan laporan media akan berlaku rombakan secara besar-besaran dalam kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) bulan hadapan termasuk penyingkiran Tan Sri Mohamad Fuzi Harun sebagai Ketua Polis Negara.

Muhyiddin dalam satu kenyataan, hari ini berkata, pihaknya menerima banyak pertanyaan daripada orang ramai serta media berhubung kesahihan berita itu yang disiarkan menerusi akhbar The Straits Times Singapura serta beberapa media lain, semalam.

“Saya menafikan dakwaan rombakan besar-besaran yang membabitkan kepimpinan tertinggi PDRM bakal dibuat bulan hadapan seperti mana yang disiarkan di media massa.

“Walau bagaimanapun, selari dengan dasar kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mengutamakan tadbir urus yang baik, saya sedang meneliti keperluan mengadakan rombakan di PDRM untuk dikemukakan kepada Perdana Menteri,” katanya.

Selain itu, beliau turut memberi jaminan kerajaan PH akan sentiasa memastikan setiap kementerian, agensi dan jabatan kerajaan berfungsi dengan penuh tanggungjawab, telus dan berintegriti.

Semalam media melaporkan, desas-desus akan berlaku rombakan besar-besaran di peringkat pegawai tertinggi PDRM semakin memuncak apabila nama Mohamad Fuzi turut dikhabarkan bakal digantikan.

Portal berita The Malaysian Insight, semalam memetik sumber berkata, penyingkiran Mohamad Fuzi adalah disebabkan kegagalannya bertindak terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Akhbar The Straits Times Singapura memetik sumber sebagai berkata, “Ya akan ada gempa 8.5 skala Ritcher (dalam pasukan polis) berlaku pada Julai.”

Mohamad Fuzi mengambil alih jawatan Ketua Polis Negara daripada Tan Sri Khalid Abu Bakar yang bersara pada September tahun lalu.

Disiarkan pada: June 12, 2018 @ 8:43pm
d